top of page

Search Results

545 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Anwar jamin pertahankan pegawai penguatkuasa berani, tegas memerangi rasuah

    Anwar Ibrahim jamin akan mempertahankan pegawai penguatkuasa yang tegas, berani memerangi rasuah. PUTRAJAYA, 13 Oktober - Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada badan penguatkuasaan untuk bebas mengambil tindakan terhadap perasuah biarpun mereka membabitkan orang kenamaan di negara ini. Menurut Perdana Menteri lagi, beliau akan mempertaruhkan apa saja untuk mempertahankan tindakan diambil penguat kuasa terhadap perasuah demi menjaga kepentingan negara. Katanya, apabila menyebut mengenai penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, beliau sedar kegusaran penguat kuasa sama ada tindakan mereka terhadap individu terbabit terutama orang kenamaan akan dipertahankan kepemimpinan dalam pasukan. "Tetapi bila saya jelaskan, ada bukti, jangan ada penganiayaan, (tindakan perlu diambil) jalan tegas, keras, segera. "Saya akan pertaruhkan segala-galanya untuk pertahankan mereka (pegawai penguatkuasa) dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara ini. "Ia bermakna, saya sendiri mesti mengepalai dan beritahu 'my full undivided support' (saya beri sokongan sepenuhnya) terhadap tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini," katanya. Anwar berkata demikian semasa memberikan amanat dalam majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Oktober 2025 pada pagi Isnin. Turut hadir, Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

  • Lelaki Tajikistan ugut pegawai kedutaan kerana pasport lambat siap ditahan polis

    Lelaki warga Tajikistan direman selepas ugut pegawai kedutaan kerana pasport lambat siap di Ampang baru-baru ini. AMPANG - Gara-gara tidak puas hati dengan kelewatan proses permohonan pasport baharu, seorang lelaki warga Tajikistan yang mengugut dan mengganggu pegawai kedutaannya di sini telah ditahan polis. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 27 tahun itu mula menunjukkan sikap agresif sejak awal tahun ini apabila pasport baharunya tidak diproses seperti dijangka. "Suspek datang ke pejabat Kedutaan Tajikistan untuk menuntut pasport baharu namun enggan mematuhi prosedur ditetapkan sebelum bertindak menjerit dan cuba memasuki premis itu tanpa kebenaran. “Suspek turut dikesan berkeliaran pada waktu malam di kawasan kedutaan itu selain membuat panggilan telefon menggunakan kata-kata kesat dan ugutan lisan terhadap pegawai yang bertugas bertugas," katanya dalam kenyataan tengah malam. Tambah beliau, siasatan mendapati suspek turut menghantar mesej mengancam akan membunuh diri di hadapan kedutaan berkenaan sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, selain memuat naik video berunsur tohmahan terhadap pihak berkuasa Tajikistan di media sosial. Katanya, bertindak hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan lelaki itu di kawasan Ampang pada jam 11.20 pagi, 8 Oktober lalu. "Hasil pemeriksaan lanjut polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek bagi membantu siasatan lanjut. "Semakan polis juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga negatif dadah,” jelasnya. Menurut Mohd Azam, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut polis.

  • Pelajar Perempuan dirogol bergilir-gilir, 4 suspek pelajar direman

    Empat pelajar lelaki berusia 17 tahun disyaki rogol pelajar perempuan direman polis membantu siasatan lanjut KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga mengalami trauma teruk apabila menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior dalam insiden yang berlaku di dalam kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka pada 2 Oktober lalu. Lebih mengeruhkan situasi, tindakan tidak bermoral itu bukan sahaja dilihat oleh dua pelajar lain malah turut dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum disebarkan dalam kalangan suspek. Menurut sumber, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.50 petang ketika mangsa berusia 15 tahun terbabit berpatah balik ke kelasnya di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek subjek sains yang tertinggal, lapor Malaysia Gazette. “Sebaik tiba di kelas, mangsa yang juga pengadu kes perasan terdapat dua pelajar lelaki senior berusia 17 tahun sedang menghendapnya dari celah pintu kelas. “Bagaimanapun selepas mengambil barangnya dan ketika sedang menuruni tangga, tiba-tiba suspek pertama menggenggam kuat tangan mangsa, menutup mulut dan menolaknya masuk semula ke dalam kelas di tingkat tiga. “Seorang lagi rakannya pula menjaga di kawasan tangga sebelum dua lagi pelajar lelaki lain berusia 17 tahun masuk ke dalam kelas melihat suspek pertama membogelkan mangsa dan merogolnya,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.Aksesori telefon Kejadian itu disaksikan kesemua empat suspek sebelum pelaku kedua juga bertindak merogol pengadu manakala suspek ketiga pula merakamkan perbuatan keji tersebut menggunakan telefon bimbit milik suspek pertama. Sumber memaklumkan ketika kejadian, suspek keempat pula mengambil langkah menjaga kawasan kelas untuk mengelakkan jenayah terbongkar sebelum kesemua mereka meninggalkan pengadu di lokasi kejadian. Polis Melaka turut mengesahkan bahawa kesemua suspek 17 tahun itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes yang sedang disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol secara berkumpulan. Mangsa kejadian telah dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan masih mendapat rawatan di hospital tersebut.

  • 2.67 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya utama sempena Deepavali- LLM

    LLM menjangkakan sebanyak 2.67 juta kenderaan akan berada di Lebuh Raya Utama di negara ini menjelang sambutan Deepavali 20 Oktober 2025 KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Dengan berbaki hanya seminggu lagi untuk masyarakat India di negara ini menyambut perayaan Deepavali 20 Oktober ini, sebanyak 2.67 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi satu kenyataannya berkata, sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Berhad (PLUS), manakala Lebuhraya KL-Karak dijangka mencatatkan 170,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (40,000) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (170,000). "LLM juga menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama seawal pada Khamis 16 Oktober ini bagi pengguna yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur," katanya. Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar. Antara langkah diambil oleh LLM termasuk memastikan tiada penutupan lorong bermula 17 hingga 23 Okt kecuali bagi kerja kecemasan, mengaktifkan laluan 'smart lane' di 29 lokasi yang dikenal pasti di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Selain itu, LLM juga memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol. LLM turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Deepavali. Diskaun tol sebanyak 50 peratus itu akan dilaksanakan pada 18 Oktober bermula jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam 19 Oktober (Ahad) untuk memudahkan pergerakan rakyat ke kampung halaman masing-masing tanpa sebarang masalah di lebuh raya kelak.

  • Kakitangan MPHS meninggal dunia semasa berbasikal

    Kakitangan MPHS yang berbasikal bersendirian ditemui meninggal dunia akibat serangan janjung semalam. Fo to:gambar hiasan HULU SELANGOR, 13 Oktober – Seorang lelaki tempatan disyaki mengalami serangan jantung sebelum ditemui meninggal dunia ketika berbasikal secara bersendirian dalam insiden yang berlaku pada Ahad. Kejadian itu dilaporkan dilaporkan berlaku di hadapan stesen minyak Caltex Batu 30, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh di sini. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam pada jam lebih kurang 11.15 pagi tentang penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri. "Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa lelaki berusia 39 tahun itu dikenalpasti sebagai kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan ketika kejadian sedang melakukan aktiviti berbasikal secara bersendirian. "Pemeriksaan pada tubuh mangsa juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran, pergaduhan atau unsur jenayah," katanya dalam kenyataan pada pagi Isnin. Tambah beliau, mayat individu berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi menjalankan proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian. "Hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki berkenaan adalah disebabkan oleh serangan jantung. "Kes ini telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," ujar beliau. Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung kejadian terbabit diminta agar segera menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Khadijah di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

bottom of page