top of page

Search Results

681 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Wan Ahmad Fayhsal setia kekal bersama Pas, PN

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Fayhsal setia kekal bersama Pas, PN KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan pendiriannya untuk terus kekal setia bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) walaupun digantung keahliannya selama satu penggal oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin lepas. Jelas Wan Ahmad Fayhsal, walaupun terdapat tawaran agar menyertai DAP daripada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, beliau mengambil pendirian menolak tawaran itu kerana komitmen dan kesetiaannya terhadap perjuangan Pas dan PN tidak akan digadaikan sama sekali. “Ahli Parlimen Jelutong tanya saya, kenapa YB (yang berhormat) Machang ditindas, dizalimi dan digantung. “YB...saya pun tidak tahu kenapa digantung, tanya Pagoh nanti. Dalam surat pun tidak dijelaskan sebab saya digantung. “Kalau begitu, dia (Ahli Parlimen Jelutong) ajak saya masuk Pakatan Harapan (PH), DAP. Saya kata terima kasih atas jemputan, tapi saya punya komitmen untuk PN dan Pas. Tidak akan sama sekali saya pijak amanah rakyat Machang. Wallahi, saya akan kekal bersama Pas dan Perikatan Nasional," katanya pada Rabu. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam ceramah sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) Peringkat Pas Kawasan Machang. Beliau turut memaklumkan pernah menolak tawaran lumayan yang pernah diterima dua tahun lalu bagi meninggalkan perjuangan parti. Wan Ahmad Fayhsal mendakwa beliau pernah disogok sebanyak RM5 juta bagi ‘membeli’ kerusi Parlimen Machang, namun menolak tawaran tersebut atas prinsip perjuangan dan kejujuran terhadap mandat rakyat. Pada 13 Oktober lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu digantung hak-hak keahlian di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh satu penggal pemilihan parti itu berkuat kuasa serta merta manakala seorang lagi pemimpin iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan pula dipecat keahlian parti tersebut namun tidak diperincikan sebab pemecatan itu.

  • Kereta mewah, 727 barang milik Dato Seri Vida bakal dilelong

    Dato Seri Vida KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Selepas tertangguh sejak Disember tahun lalu, proses lelongan kereta mewah dan 727 barangan peribadi milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida bakal dilelong pada 30 Oktober ini. Menerusi notis perisytiharan jualan lelong yang disiarkan dalam ruang iklan sebuah akhbar berbahasa Inggeri tempatan hari ini, jualan berkenaan dilakukan oleh pemiutang, AH Design Communication Sdn Bhd pada Vida. Tindakan itu susulan kegagalan Vida membuat bayaran dengan jumlah sebenar yang tertunggak kepada syarikat subkontraktor AH Design Communication. Selain gagal mencapai tawaran penyelesaian serta permohonan Vida agar proses lelongan ditangguhkan selama hampir setahun atas alasan barangan yang disita adalah barangan pinjaman.

  • Tiga pelajar antara empat remaja ditangkap rogol berkumpulan, sebar bahan lucah

    Tiga pelajar antara empat remaja ditahan disyaki rogol berkumpulan, sebar bahan lucah dalam insiden di Baling Kedah. BALING, 16 Oktober- Apa yang terjadi dengan remaja dan pelajar di sekolah? itulah persoalan yang agak mengejutkan kini timbul apabila belum pun reda kes pelajar perempuan dirogol bergilir di Melaka, kini satu lagi jenayah berkenaan berlaku lagi. Kali ini, di Baling Kedah, empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di daerah ini ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam rogol berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah yang kemudian tular di media sosial. Pemangku Ketua Polis Daerah Baling Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, polis menerima satu laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun pada Ahad lalu kira-kira jam 11 pagi selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video anaknya berbogel. Katanya, susulan daripada itu tiga pelajar sekolah berkenaan dan seorang lagi bekas pelajar sekolah sama berjaya ditahan pada jam 9.30 malam hari sama selepas insiden untuk membantu siasatan polis. "Hasil siasatan lanjut polis mendapati, empat suspek berkenaan didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi di dalam kelas sekolah tersebut. "Rentetan daripada itu, kesemua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap serta merampas enam telefon bimbit untuk membantu siasatan lanjut," katanya. Tambah Ahmad Salimi, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak. Jelas beliau, polis memandang serius kejadian tersebut dan meminta orang ramai terutamanya ibu bapa dan penjaga supaya memantau rapi setiap kegiatan dan pergerakan anak-anak mereka terutamanya dalam kalangan remaja.

  • Lebih 300 penduduk terputus hubungan akibat tanah runtuh di Mexico

    BANDAR RAYA MEXICO, 15 Oktober – Lebih 300 penduduk di bahagian tengah dan timur Mexico telah terputus hubungan akibat bencana tanah runtuh dan banjir membawa maut yang berlaku semalam, lapor saluran berita CNN. Ribuan anggota tentera dan pekerja awam bergegas membuka semula jalan yang terhalang akibat kejadian tersebut. Kerajaan mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 64 orang terkorban akibat hujan lebat yang berterusan. Puluhan lagi masih hilang dan pegawai memberi amaran bahawa tahap sebenar kemusnahan di bandar-bandar terpencil yang mempunyai antara 500 hingga 1,000 penduduk masih belum diketahui. Hujan lebat itu dicetuskan oleh pertembungan dua ribut tropika yang melanda pesisir barat Mexico dan berlaku pada penghujung musim hujan yang luar biasa kuat, menyebabkan sungai melimpah serta cerun tanah menjadi lemah.

  • India tawar ganjaran 1,000 rupee aduan tandas kotor

    India menawarkan habuan RM50 (1,000 rupees) kepada pengadu bawa gambar tandas kotor di tol lebuhraya di Delhi NEW DELHI, 15 Oktober – Pihak Berkuasa Lebuhraya Kebangsaan India (NHAI) menawarkan ganjaran sebanyak 1,000 rupee (RM50) kepada sesiapa yang membuat aduan mengenai tandas kotor, lapor portal berita Wion News. Skim baharu itu dilancarkan demi meningkatkan kebersihan tandas awam di semua plaza tol di India. Skim tersebut akan berakhir pada 31 Oktober ini dan terpakai di semua lebuh raya. Pengguna jalan raya perlu membuat laporan melalui aplikasi Rajmargyatra dan memuat naik gambar tandas beserta tanda masa imej yang diambil. Mereka perlu mengisi nama penuh, telefon bimbit dan nombor pendaftaran kenderaan (VRN) pada aduan tersebut. Setiap VRN layak menerima wang itu sekali sahaja.

  • Gunung Lewotobi Laki-laki di Indonesia meletus

    JAKARTA, 15 Oktober- Gunung Lewotobi Laki-laki yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus pada pagi Rabu, memuntahkan awan yang mengandungi abu setinggi lapan kilometer (km) ke udara, menurut pihak berkuasa. Letusan yang bermula pada 9.21 pagi waktu tempatan itu disertai kepulan abu kelabu tebal yang bergerak ke arah utara dan barat laut, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG). Dalam satu kenyataan, pusat itu menggesa penduduk dan pelancong supaya menjauhi kawasan berkenaan serta memberi amaran agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan enam kilometer dari kawah dan sehingga tujuh kilometer di sektor barat daya, utara dan timur laut. "Letusan itu disertai bunyi dentuman kuat yang kedengaran dari pos pemerhatian gunung berapi," menurut PVMBG sambil menambah bahawa gunung berkenaan kekal pada Tahap Empat - status amaran tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat Indonesia. Komuniti yang tinggal berhampiran gunung itu turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya aliran lumpur gunung berapi di sepanjang sungai yang mengalir dari lerengnya, terutamanya di kawasan Dulipali, Padang Pasir, Nobo, Nurabelen, Klatanlo, Hokeng Jaya, Boru dan Nawakote. Mereka yang terjejas akibat hujan abu digesa memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada masalah pernafasan, tambah pusat itu.

  • Jepun julung kali tewaskan Brazil dalam aksi persehabatan

    TOKYO, 15 Oktober - Jepun bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menundukkan Brazil 3-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Ajinomoto dekat sini malam tadi. Brazil terlebih dahulu melakukan asakan bertali arus ke gawang tuan rumah dan berhasil memecahkan kebuntuan pada minit ke-26 apabila Paulo Henrique menemui lorongan Casemiro sebelum meledakkan rembatan rendah ke jaring Jepun. Gabriel Martinelli kemudian menggandakan kelebihan itu sebelum menuju ke bilik persalinan dengan rembatan kaki kirinya pada minit ke-32. Bagaimanapun, arus perlawanan itu berubah 180 darjah dalam separuh masa kedua untuk Jepun menghasilkan tiga gol bermula dengan jaringan Takumi Minamino, yang memanfaatkan kesilapan pertahanan Brazil, pada minit ke-52. 10 minit berselang, Keito Nakamura melepaskan penyudah voli, yang gagal ditampan keluar pertahanan Brazil, untuk Jepun mengikat kedudukan 2-2. Ayase Ueda kemudian muncul wira Jepun apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71 dengan tandukannya menewaskan Hugo Souza. Sebagai rekod, ia merupakan kali pertama Jepun menewaskan Brazil selepas 14 percubaan sebelum ini.

  • Terbuka Denmark: Hon Jian-Muhammad Haikal tewas kepada gandingan hebat China

    KUALA LUMPUR 15 Oktober- Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tewas kepada pasangan handalan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2025 di Odense pada Selasa. Pasangan tidak disenaraikan itu tewas selepas berjuang tiga set dengan keputusan 19-21, 21-18, 15-21 dalam pertarungan sengit selama 53 minit kepada pilihan kelima kejohanan yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Jyske Bank. Sementara itu, beregu profesional lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan dari China, Xie Haonan-Zeng Wei Han 21-13, 21-15. Cabaran besar menanti pasangan ranking dunia ke-24 itu apabila dijadual menentang juara dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada pusingan seterusnya. Pasangan pilihan utama kejohanan itu sebelum ini mudah menewaskan beregu tuan rumah, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-11, 21-11.

  • 18 atlet negara akan duduki SPM selepas cabaran sukan SEA Thailand

    Hannah Yeoh SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan memberi jaminan bahawa seramai 18 atlet negara yang menggalas cabaran di Sukan SEA Thailand tidak akan terlepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti. Kesemua atlet berkenaan akan mengambil peperiksaan itu sejurus selepas berakhirnya temasya dwitahunan tersebut. Temasya Sukan SEA Thailand edisi ke-33 tersebut akan membuka tirai dari 9 hingga 20 Disember ini manakala peperiksaan SPM dijadualkan bermula lebih awal, iaitu dari 3 November hingga 23 Disember ini. Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan para atlet negara yang berkaitan kerana tarikh kedua-dua acara bertindih. Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, keputusan itu adalah hasil kerjasama strategik antara KBS, MSN dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjamin masa depan atlet muda negara. "Sukan SEA akan berlangsung di Thailand pada bulan Disember dan setakat ini kita ada 17 calon sekolah kerajaan serta seorang calon persendirian. "MSN berbincang dengan KPM dan mencapai persetujuan supaya peperiksaan SPM dijalankan di MSN selepas mereka pulang daripada pertandingan," kata Hannah selepas menghadiri majlis memperkenalkan pasukan dan jentera yang akan dipacu Hakim Danish Ramli pada Grand Prix Malaysia 2025 di sini, hari ini. Sebelum ini, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib 18 atlet yang bakal menduduki SPM ekoran jadual peperiksaan itu bertembung dengan temasya tersebut.

  • Piala Asia 2027: Harimau Malaya lanyak Laos, bakal naik ke tangga 117 dunia FIFA

    Harimau Malaya berjaya menewaskan Laos dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 semalam. Piala Asia 2027: Harimau Malaya lanyak Laos di Bukit Jalil KUALA LUMPUR - Pasukan kebangsaan Harimau Malaya menepati ramalan apabila berjaya membelasah lawannya Laos dalam aksi keempat Kumpulan F, pusingan kelayakan Piala Asia 2027 malam tadi. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kebangsaan yang turun tanpa tujuh tonggak utama pemain warisan dikejutkan dengan gol pasukan pelawat yang menduduki ranking 185 dunia itu pada minit ke-19 separuh masa pertama menerusi rembatan Chanthavixay Khounthoumphone. Harimau Malaya yang tidak menjangkakan gol awal itu terus menyusun strategi bagi mencari gol penyamaan sebelum perlawanan ditangguh memihak kepada pelawat separuh masa pertama. Bermula separuh masa kedua, Harimau Malaya terpaksa menunggu hingga minit ke-59 untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Faisal Halim yang berjaya menewaskan Lokphatip. Jaringan itu jelas mencetus kebangkitan skuad negara apabila Morales menambah dua gol dalam tempoh lima minit - pada minit ke-65 dan 70. Malang terus menimpa Laos selepas Khammanh Thapaseut tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-80 ketika dia cuba membuat hantaran kepada Lokphatip. Pemain gantian, Paulo Josue kemudian melengkapkan kebangkitan penuh bergaya skuad negara di hadapan 18,901 penonton apabila meledak gol kelima selepas tidak sampai seminit dia masuk menggantikan Faisal pada minit ke-81. Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata selepas memenangi semua empat perlawanan awal dan tiga mata di depan pencabar utama, Vietnam. Anak buah Cklamovski kemudian akan meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan itu berdepan Nepal, 18 November ini. Kemenangan itu sekaligus melonjakkan kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking FIFA apabila secara tidak rasmi menduduki tangga ke-117 dunia apabila kemaskini rasmi ranking pasukan bola sepak dilaksanakan oleh FIFA pada 23 Oktober 2025 nanti.

  • Pelajar lelaki tikam mati pelajar perempuan direman seminggu

    Suspek tikam bunuh pelajar perempuan SMK Bandar Utama, Petaling Jaya direman seminggu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan PETALING JAYA, 15 Oktober - Seorang pelajar lelaki yang ditahan polis selepas disyaki membunuh pelajar perempuan dari Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama, di sini telah direman untuk membantu siasatan polis. Suspek berusia 14 tahun yang menuntut di Tingkatan 1 sekolah sama telah ditahan pada hari yang sama selepas kejadian menurut Ketua Polis Negara Datuk Seri Ahmad Khalid Ismail. Pagi tadi, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini untuk proses permohonan reman oleh polis. Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah reman selama seminggu terhadap suspek selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis. Suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) direman sehingga Selasa minggu depan (21 Oktober 2025). Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan. Dalam prosiding reman hari ini suspek yang memakai baju oren diwakili peguamnya, Anuar Ezzad. Dalam satu lagi perkembangan terkini dalam kes terbabit, Polis Selangor hari ini memaklumkan bahawa suspek dipercayai telah membeli dua senjata yang digunakan dalam insiden tikam itu dari dalam talian. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pisau serta kerambit berkenaan dibeli secara dalam talian. “Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan. “Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu,” katanya. Malah katanya polis juga meneruskan siasatan untuk menentukan tempoh suspek memiliki senjata tersebut sebelum melakukan jenayah tersebut.

  • Polis temui senjata pisau, kerambit pada suspek tikam pelajar

    PETALING JAYA: Polis sedang meneliti senjata yang digunakan pelajar 14 tahun sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, ketika menikam seorang pelajar perempuan 16 tahun sekolah sama, pagi tadi. Ini susulan penemuan dua senjata iaitu pisau dan satu lagi dipercayai kerambit. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan senjata yang digunakan suspek. "Pada masa ini kita masih belum dapat memastikan senjata yang digunakan suspek sehinggalah siasatan secara terperinci selesai. "Ini termasuk daripada beberapa kesan tikaman pada tubuh mangsa, kita juga masih menunggu laporan bedah siasat yang akan dijalankan," katanya. Orang ramai katanya, diminta untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

bottom of page