

Search Results
657 hasil ditemukan dengan carian kosong
- Jamawi tak kisah dicop 'katak politik', tanding sebagai calon PH atas permintaan PM
TENOM - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menafikan dakwaan kononnya beliau ‘melompat’ parti sekali lagi apabila bertanding menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kali ini. Beliau tidak segan digelar 'katak' politik kerana bertanding atas tiket PH kali ini selepas pernah mewakili Barisan Nasional, kemudian ke Warisan dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini. Jamawi berkata, langkah berkenaan bukan keputusan peribadi seperti digambarkan sesetengah pihak. "Sebaliknya atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mahu saya mewakili PH di kawasan berkenaan. "Ini antara isu yang dimomokkan oleh pihak pembangkang tetapi kebanyakan rakyat tahu kali ini saya bukan melompat. "Kali ini adalah permintaan daripada Perdana Menteri kepada Ketua Menteri supaya saya bertanding atas tiket PH. "Walaupun saya ketika itu adalah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) di kawasan Melalap tetapi Ketua Menteri kita bersetuju atas kehendak daripada Perdana Menteri. Supaya akan ada wakil yang dapat membawa isu-isu pembangunan, ekonomi dan sebagainya ke Putrajaya kepada pucuk pimpinan di peringkat Persekutuan," katanya seperti dilaporkan oleh media Sinar Harian semasa berkempen di Kampung Loboh pada Ahad. Tambah Jamawi, itulah yang beliau telah jelaskan kepada masyarakat di kawasan Melalap mengenai status beliau bertanding (tiket PH) dan mereka memahami bahawa ada kebaikan untuk kita dapat paip kecil daripada kerajaan negeri dan juga paip besar daripada Persekutuan supaya kita akan dapat membela lebih ramai masyarakat di luar bandar. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran dalam saingan lapan penjuru kali ini, meskipun beliau satu-satunya calon yang pernah menjadi wakil rakyat, namun berdepan sentimen berkaitan tindakannya menukar parti pada episod politik sebelum ini. Susulan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memilihnya sebagai calon di kawasan tersebut, selain melihat peluang kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membawa pembangunan ke pedalaman Sabah. "Saya menerima maklum balas yang positif daripada rakyat di kawasan Melalap apabila kali pertama seorang Perdana Menteri sampai ke Pekan Melalap. Jadi apabila beliau menyatakan bahawa Melalap ini dekat di hati dia dan Perdana Menteri sempat berbisik kepada saya, Jamawi menang, awak bawa harapan rakyat kepada saya. "Yang ini satu jaminan untuk kita membela dan juga membawa isu-isu rakyat yang mungkin untuk kita percepatkan kelulusannya di peringkat Persekutuan," tegasnya lagi.
- Makmal dadah jenis heroin di rumah Bukit Mertajam digempur
GEORGE TOWN - Tindakan licik satu sindiket dadah yang menjadikan sebuah rumah kediaman di Bukit Mertajam sebagai makmal memproses dadah jenis heroin akhir terbongkar. Makmal haram barang terlarang itu berjaya digempur oleh sepasukan dalam serbuan yang dijalankan pada Jumaat lalu. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pembongkaran itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ahli kimia dan ‘runner’ sindiket tersebut. Katanya lagi, kedua-dua suspek itu ditangkap oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan antara jam 4 petang Jumaat sehingga 5 pagi pada Sabtu. "Serbuan pertama di Seberang Perai Tengah oleh anggota polis berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang bertindak sebagai ahli kimia dan dipercayai memproses heroin di rumah tersebut. "Hasil soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada serbuan kedua di daerah Kulim, Kedah sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki yang berperanan sebagai runner sindiket tersebut," katanya dalam kenyataan di sini. Tambah Azizee, dalam serbuan itu polis menerusi pemeriksaan lanjut berjaya merampas tiga bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk disyaki heroin base seberat 400 gram, selain bahan kimia cecair, peralatan memproses dadah serta sebuah motosikal. Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket dadah ini dipercayai aktif sejak Ogos lalu menjadikan rumah di Bukit Mertajam sebagai makmal memproses bahan terlarang itu. "Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek juga mendedahkan positif dadah dan semakan lanjut mendapati mereka memiliki rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah. "Kesemua dadah yang dirampas dan sitaan harta dianggarkan bernilai RM130,400. " Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan bersalah," tegasnya lagi.
- Lelaki maut disyaki dipukul, ditetak di pusat hiburan
SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi Ahad. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah. "Kita percaya pergaduhan itu melibatkan 10 hingga 12 lelaki dan seorang daripada mereka bertindak menikam mangsa,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad. Azahar berkata, pihaknya sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian, bagi mengenal pasti identiti suspek dan punca insiden. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Azahar berkata, mengikut siasatan, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Terdahulu, tular di media sosial video rakaman CCTV berdurasi seminit 26 saat di premis berkenaan memaparkan mangsa cuba melarikan diri selepas dikejar sekumpulan lelaki, sebelum dipukul termasuk menggunakan kerusi dan kotak. - Bernama
- Banjir semakin buruk, 10, 914 mangsa dipindahkan di lapan negeri
SHAH ALAM – Keadaan bencana banjir di seluruh negara khususnya di lapan negeri bertambah buruk. Mengikut laporan terkini, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10, 914 orang setakat jam 10.30 pagi pada Isnin, dengan lapan negeri masih terjejas. Laporan terkini Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan bahawa jumlah itu melibatkan 3,872 keluarga dengan 71 pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif. Negeri Pantai Timur Kelantan masih kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 8,452 orang dan kini ditempatkan di 36 PPS. Daerah terjejas akibat banjir di Kelantan ialah membabitkan Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan turut memaklumkan bahawa situasi masih terkawal, namun pemantauan rapi diteruskan oleh pasukannya susulan daripada ramalan hujan berterusan. Terengganu menjadi negeri kedua paling terjejas, diikuti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak. Pihak berkuasa mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya terus mematuhi arahan pemindahan bagi mengelakkan risiko keselamatan serta tidak melakukan aktiviti di sungai atau lokasi yang berpotensi dinaiki air secara mendadak. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan paras air sungai, menyediakan keperluan asas sebagai persiapan awal serta mengutamakan keselamatan keluarga sekiranya diarahkan berpindah. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan Pantai Timur dan utara Semenanjung sepanjang minggu ini. Sementara itu situasi semasa banjir di Pulau Pinang pula menyaksikan seramai 242 mangsa daripada 57 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS di dua daerah di Pulau Pinang susulan banjir yang melanda sejak petang Ahad. Menurut kemas kini di laman sesawang lnfobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 7.46 pagi Isnin, tiga PPS dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) manakala satu lagi di Seberang Perai Tengah (SPT). Bagaimanapun cuaca di kebanyakkan kawasan dilaporkan mendung dan hujan renyai. Empat PPS yang beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di SPT sementara tiga lagi di SPU iaitu Pusat Pemindahan Desa Puri, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya dan Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi. - malaysiatoday
- Tempoh 6 bulan selesai kes Indira atau Kulasegaran kena letak jawatan - Gerakan
KUALA LUMPUR - M.Kulasegaran diberi tempoh enam bulan oleh Gerakan untuk menyelesaikan kes M. Indira Fandhi yang menuntut kerajaan mengambalikan anaknya yang dilarikan suaminya 17 tahun lalu. Kegagalan Kulasegaran berbuat demikian perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Pemimpin Gerakan, Datuk Naran Singh seperti dilaporkan Malaysiakini melontarkan cabaran tersebut ke atas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu. Katanya, Kulasegaran gagal sama ada sebagai anggota pentadbiran kerajaan mahupun sebagai peguam yang mengendalikan usaha menyatukan semula Indira dengan anaknya, Prasana Diksa yang terpisah lebih 16 tahun. Mengulas tentang janji Kulasegaran untuk mengaturkan pertemuan antara Indira dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam tempoh tiga minggu, Naran Singh menyifatkan ia sebagai janji kosong. “Anda ialah timbalan menteri undang-undang. Anda sepatutnya mengeluarkan arahan, bukan menganjurkan mesyuarat. “Kulasegaran perlu mengarahkan KPN untuk menyelesaikan perkara ini dalam tempoh enam bulan. Jika dia gagal, dia harus meletak jawatan sebagai timbalan menteri undang-undang,” katanya. Naran yang juga seorang peguam berkata Kulasegaran dan DAP lantang membela nasib Indira ketika menjadi pembangkang namun gagal membawa penyelesaian walaupun kini memegang jawatan dalam kerajaan. Dia mendakwa perjuangan Indira sudah bermula jauh sebelum Kulasegaran menjadi menteri. “Apa yang saya ingin katakan kepada Kulasegaran ialah: janganlah kita jadi hipokrit. Pada 2009, dia mengambil kes ini sebagai peguam. Sudah 16 tahun berlalu.” “Sejak itu, dia telah menjadi menteri sumber manusia. Kini dia timbalan menteri undang-undang. Apa yang dia lakukan selama ini? Langkah apa yang dia dah ambil?” “Jika seorang ibu telah dinafikan hak ke atas anaknya selama 16 tahun, adakah kamu mahu katakan menteri undang-undang dan timbalan menteri langsung tidak mempunyai kuasa?” soalnya. Naran turut menggesa Kulasegaran menyelesaikan amanahnya sebagai peguam Indira. “Sebagai peguam, jika anda mengambil kes, anda perlu menyelesaikan misi itu. Tetapi sekarang, saya mencabarnya hanya enam bulan.” “Saya mencabarnya sebagai pemimpin Gerakan dan juga sebagai seorang peguam. “Sekali lagi, jika dalam tempoh enam bulan dia tidak dapat menyelesaikan kes itu, maka dia mesti meletak jawatan,” katanya lagi. Pada Sabtu lalu, Indira dan para penyokongnya berarak dari Sogo ke ibu pejabat polis Bukit Aman bagi menyerahkan anak patung Prasana kepada KPN sebagai tuntutan simbolik memohon anaknya dikembalikan. Kumpulan itu menunggu hampir empat jam di luar Bukit Aman walaupun KPN tidak hadir. Mereka bersurai selepas Kulasegaran berjanji membantu menjadualkan pertemuan antara Indira dan KPN dalam minggu-minggu terdekat. Naran turut membidas polis kerana masih gagal mengesan bekas suami Indira, Riduan Abdullah, walaupun pasukan keselamatan memiliki sumber luas. “Adakah kita benar-benar ingin berkata bahawa polis Malaysia tidak mampu menjejak seorang individu yang bersembunyi dalam negara? Jika begitu, bagaimana pula jika ada pengganas yang perlu dijejaki?” “Kedua, adakah mereka menggunakan sumber lain seperti jabatan cukai pendapatan, data KWSP, jabatan kebajikan masyarakat atau tentera, sebagai contoh?” soalnya lagi.
- Lelaki hilang 45 tahun kembali kepada keluarga selepas ingatan pulih
SHIMLA – Seorang lelaki dari daerah Sirmaur, Himachal Pradesh yang hilang selama 45 tahun akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya selepas mengalami hentakan kepala baharu yang memulihkan ingatannya semula. Kisah meruntun jiwa itu bermula pada tahun 1980 apabila Rikhi yang ketika itu berusia 16 tahun hilang selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam satu insiden nahas jalan raya semasa bekerja di sebuah hotel di Yamunanagar, Haryana. Akibat daripada hentakan kuat itu, dia telah hilang daya ingatan sepenuhnya sehingga tidak mengenali keluarga dan nama diri sendiri. Rakan-rakan kenalannya kemudian telah memberika nama baharu, Ravi Chaudhary. Tanpa sebarang memori mengenai masa lalunya, Rikhi berhijrah ke Mumbai dan menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan kecil sebelum akhirnya menetap di Nanded, Maharashtra setelah memperoleh pekerjaan di sebuah kolej. Di sana, beliau berkahwin dengan Santoshi dan dikurniakan tiga orang anak. Namun, beberapa bulan lalu, satu lagi insiden kemalangan berulang dalam kehidupannya sehingga mengakibatkan kecederaan kepala sebelum mengubah hidupnya. Selepas hentakan tersebut, gambaran samar tentang pokok mangga, lorong sempit dan halaman rumah di kampung asalnya, Nadi dekat Sataun, mula muncul dalam mimpinya. Beliau akhirnya menyedari bahawa itu bukan mimpi, tetapi kenangan lama yang kembali. Dengan bantuan seorang pelajar kolej, Rikhi mencari maklumat mengenai Nadi dan Sataun melalui Google. Mereka menemui satu nombor telefon sebuah kafe dan menghubungi individu bernama Rudra Prakash. Perkara itu kemudian sampai kepada seorang saudara Rikhi, MK Chaubey yang mengesahkan beberapa maklumat berkaitan identiti lama Rikhi. Rentetan itu, beliau akhirnya disatukan semula dengan keluarganya di kampung Nadi. Kepulangannya pada minggu lalu bersama isteri dan anak-anak disambut penuh emosi oleh ahli keluarga dan penduduk kampung. Suasana hiba menyelubungi pertemuan semula itu apabila adik-beradik Rikhi menangis terharu melihatnya kembali selepas lebih empat dekad. Beliau juga diberikan sambutan meriah dengan alunan muzik dan taburan bunga oleh penduduk kampung. Menurut pakar kesihatan mental, Dr Aaditya Sharma kejadian pemulihan ingatan akibat kecederaan kedua sangat jarang berlaku. “Walaupun tidak mustahil, kes seperti ini amat jarang didokumentasikan. Punca sebenar hanya dapat diketahui selepas pemeriksaan perubatan terperinci terhadap otak,” tegasnya lagi. - Agensi
- PRN Sabah: Penalti RM50 juta jika calon lompat parti - Amaran Pengerusi BN
KINABATANGAN -Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) yang didapati melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah. Itu amaran yang dilontarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihanraya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini. Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau telah menerima aku janji bahawa mana-mana ADUN daripada BN yang melompat pada PRN Sabah ke-17 akan dikenakan penalti sedemikian. "walaupun mustahil untuk ADUN yang dipilih pada PRN kali ini melompat disebabkan Akta Lompat Parti, sekiranya situasi itu berlaku, penalti atau denda serta tindakan mahkamah menanti mereka. "Hal ini supaya perkara yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas, tidak akan berlaku lagi. Kita harus belajar daripada kesilapan dan kelemahan dahulu,” katanya semasa berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan pada Sabtu. Timbalan Perdana Menteri turut memberi peringatan tegas supaya kesemua 45 calon yang mewakili BN dalam PRN Sabah ke-17 bekerja keras kerana ia satu-satunya peluang untuk BN dan UMNO kembali menjadi dominan di negeri tersebut. Jelas beliau, rakyat Sabah mahu menyaksikan BN dan UMNO memerintah semula negeri itu selepas 29 November ini dan bertekad membawa kemajuan menyeluruh ke Kinabatangan. "Saya diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibahim) sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ertinya saya menteri kampung, menteri luar bandar, kawasan Kinabatangan kawasan kampung, jadi saya akan membantu memajukan Kinabatangan. "Bukan sekadar (selesaikan) tiga serangkai iaitu jalan, elektrik dan bekalan air, lebih daripada itu pun kita akan bawa ke Lamag dan Sukau,” tegas beliau lagi.
- Amiruddin dedah cadangkan Nurul Izzah ganti beliau sebagai MB Selangor
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mendedahkan beliau telah mencadangkan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebagai calon yang sesuai untuk menggantikannya menerajui pentadbiran negeri itu sekiranya beliau berundur. Perkara itu diakui Amirudin ketika muncul sebagai tetamu dalam program audio Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan. Kata beliau, cadangan tersebut telah disuarakan secara langsung kepada Nurul Izzah dan keputusan kini terserah kepada beliau. “Saya boleh katakan itu mungkin satu formula yang baik untuk letakkan Puan Nurul Izzah supaya tidak ada persepsi atau stigma berkaitan nepotisme. “Secara jujurnya, saya sudah kemukakan kepada Izzah sendiri, terpulang kepada beliau untuk ambil cadangan itu atau tidak,” memetik OMM online. Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada terdapat kemungkinan Nurul Izzah akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya negeri akan datang, sekali gus membuka laluan untuk dilantik sebagai Menteri Besar jika menang. Dalam masa sama, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memaklumkan beliau bersedia untuk memikul amanah di peringkat Persekutuan sekiranya diperlukan. “Kalau tanya saya adakah sudah bersedia? Ya, saya sudah mempertimbangkan untuk ke Persekutuan,” katanya lagi. Cadangan Amirudin itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan Selangor dengan menampilkan tokoh muda berpengalaman, di samping mengelakkan persepsi negatif terhadap parti.
- Piala Dunia 2026: Neymar hanya ada masa enam bulan bukti kemampuan
Neymar RIO DE JANEIRO – Pemain sensasi Brazil, Neymar diberi masa selama enam bulan untuk membuktikan keupayaannya kepada ketua jurulatih, Carlo Ancelotti untuk tersenarai dalam senarai pemain ke saingan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat dan Kanada. Sebagai rekod, Ancelotti kekal dengan pendirian untuk tidak memanggil pemain berusia 33 tahun buat kali keempat berturut-turut sejak membimbing pasukan Selecao secara rasmi pada Jun lepas. Menurut Ancelotti, penyerang Santos FC itu perlu membuktikan prestasi konsisten di peringkat kelab terlebih dahulu sebelum berhasrat untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. “Pada awalnya saya ingat Neymar ini hanyalah isu di Brazil, tetapi tidak tahu ia turut dikatakan di peringkat global. “Saya difahamkan, dia sudah pulih daripada kecederaan dan sekarang saya bagi masa selama enam bulan untuk buktikan keupayaan. Dia sentiasa berada dalam senarai kami tetapi sama ada dia dapat masuk dalam senarai akhir, saya belum pasti,” katanya. Sementara itu, Ancelotti turut percaya Brazil kini berada dalam landasan terbaik untuk beraksi cemerlang dalam kempen Piala Dunia yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico nanti. “Kita sekarang sudah ada pasukan yang lengkap walaupun beberapa tonggak utama masih lagi cedera. Dalam tempoh enam bulan ini apa sahaja boleh berlaku dengan dua lagi aksi persahabatan yang bakal kita harungi pada Mac depan,” katanya. – Agensi
- Tang Jie-Ee Wei Muncul Juara Badminton Terbuka Australia 2025
Bergu campuran pertama negara muncul juara Terbuka Australia hari ini KUALA LUMPUR – Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati status sebagai pilihan utama apabila muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney hari ini. Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Olympic Boulevard sebentar tadi, gandingan No.4 dunia itu mengetepikan cabaran pasangan Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia. Turun ke gelanggang sebagai juara dunia, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi cukup mantap sebelum menamatkan pertarungan menerusi kemenangan 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit. Kemenangan itu pastinya memberi kelegaan serta tonik tambahan buat mereka menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 serta saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China bulan depan. Tang Jie-Ee Wei wajar diberikan pujian memandangkan Terbuka Australia merupakan kejohanan pertama mereka selepas kali terakhir beraksi pada Terbuka Perancis bulan lalu. Selaku juara, Tang Jie-Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM156,385), pingat serta trofi manakala Jafar-Felisha meraih AS$18,050 (RM75,223) dan pingat.
- Mangsa banjir di enam negeri meningkat, Kelantan paling tinggi
Situasi banjir di Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan. Foto Bernama Mangsa banjir di enam negeri meningkat, Kelantan paling tinggi SHAH ALAM - Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir di Hatyai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand dilaporkan selamat kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat. Bagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik sementara dan kekurangan akses makanan akibat gangguan setempat. Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok terus memantau rapat situasi banjir di Hatyai dan beberapa daerah berdekatan itu. "Konsulat Jeneral di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasinya bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan. “Konsulat Jeneral juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel dan kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas," kata kenyataan itu pada Sabtu malam. Menurut kenyataan itu, Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang aktif menguruskan keadaan. Katanya lagi, keadaan cuaca dijangka bertambah baik, dengan hujan lebat diramalkan berhenti pada Ahad dan paras air banjir dijangka surut serta keadaan keseluruhan dijangka pulih menjelang Isnin. “Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan sekitarnya supaya kekal berada di dalam bangunan jika boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati di kawasan terjejas banjir. “Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok turut digesa berbuat demikian,” kata kenyataan itu. Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66 74) 311 062 bagi pertanyaan umum, +(66 74) 316 274 atau +(66 81) 990 1930 untuk kecemasan dan +(66 74) 324 004 atau 312 353 untuk bantuan tambahan atau e-mel ke mwsongkhla@kln.gov.my.
- Terbuka Australia: Tang Jie-Ee Wei mara ke final
BEREGU campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran kedua mereka tahun ini selepas menampilkan aksi bertenaga untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2025 di Sydney pada Sabtu. Pada aksi separuh akhir kejohanan Super 500 di Quaycentre, Olympic Boulevard itu, juara dunia dan pilihan utama itu mengambil masa 50 minit untuk menumpaskan pasangan Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 21-14, untuk menempah slot ke final esok. Beregu nombor empat dunia itu akan menentang pilihan kedua dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu yang menyingkirkan cabaran pilihan ketiga dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, 19-21, 21-13, 21-14. Sementara itu, hasrat beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke final ketiga mereka tahun ini tidak kesampaian selepas tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin. Beregu pilihan kedua itu tewas 15-21, 15-21 dalam masa 42 minit pada pertemuan pertama mereka menentang Raymond-Nikolaus. Pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu hanya meraih satu gelaran tahun ini pada Terbuka India 2025, Januari lalu dan muncul naib juara Terbuka Jepun 2025, Julai lalu. - Bernama











