top of page

Search Results

657 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Sadio Mane kagum dengan karakter luar biasa Ronaldo

    PENYERANG Al Nassr, Sadio Mane menyatakan kekaguman terhadap karakter dan mentaliti Cristiano Ronaldo sekali gus menyifatkan bintang Portugal itu sebagai contoh kepada setiap pemain bola sepak di dunia. Mane yang menyertai Al Nassr dari Bayer Munich dua musim lalu berkongsi pandangan jujurnya dalam temubual bersama bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand. Pemain Senegal itu yang berpindah ke Liga Pro Saudi pada 2023 kini membentuk kerjasama bersama Ronaldo di jentera serangan Al Nassr. Pengalaman bermain dan berlatih bersama Ronaldo memberi dia perspektif tentang kehebatan pemenang lima kali Ballon d’Or itu. “Cristiano adalah contoh teladan untuk setiap pemain bola sepak di dunia. Mentaliti, semangat untuk menang dan tahap profesionalismenya sangat luar biasa. "Saya tidak pernah melihat pemain seperti dia sebelum ini,” katanya. Sebelum berjumpa secara peribadi, Mane sering menonton aksi Ronaldo di televisyen dan membaca mengenai profesionalisme Ronaldo. “Apabila saya bertemu dengannya di sini, saya dapati semuanya sama seperti yang saya lihat dan baca,” ujarnya. Menurut Mane, Ronaldo tetap bersemangat memberi yang terbaik setiap hari walaupun sudah berusia 40 tahun. - Agensi

  • Liverpool dimalukan Forest di Anfield

    EPL: Liverpool dilanyak dihalaman sendiri oleh Forest ANFIELD - Skuad Liverpool terus ditimpa malang apabila dilantak teruk 3-0 dihalaman sendiri, Anfield oleh Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi. Kapten pasukan itu, Virgil van Dijk yang terkejut dengan kekalahan keenam pasukan itu menggesa rakan sepasukan supaya bangkit segera selepas skuad kendalian Arne Slot itu terus dirundung malang. Kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mendedahkan benteng pertahanan juara bertahan EPL itu rapuh terutamanya dalam situasi bola mati. Jaringan pembukaan Murillo pada separuh masa pertama berpunca daripada kegagalan Van Dijk mengeluarkan bola dengan kemas hasil sepakan penjuru Elliot Anderson. Ia disusuli dua gol babak kedua menerusi Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White yang menyaksikan penyokong The Reds mula meninggalkan stadium lebih awal akibat kekecewaan. Statistik menunjukkan kelemahan ketara Liverpool musim ini apabila gol Murillo itu merupakan gol kesembilan yang dibolosi mereka menerusi situasi bola mati (tidak termasuk penalti). Jumlah itu menyamai rekod bolos situasi sama sepanjang musim lalu. Malah, empat daripadanya berpunca daripada sepakan penjuru, melebihi jumlah tiga gol yang dilepaskan dalam situasi serupa pada kempen 2024-25. Van Dijk yang tidak berselindung mengenai kesilapannya mengakui benteng pertahanan pasukannya terlalu mudah ditembusi. "Kami melepaskan gol yang terlalu mudah. Jelas sekali mereka menjaringkan gol daripada situasi bola mati lagi. "Saya akui hantaran itu (untuk gol pertama) mungkin berada di depan Alisson, tetapi ia tetap dikira gol dan kami ketinggalan 1-0. "Kami tidak cukup bagus dari segi pertarungan fizikal, cabaran dan semangat juang. Semuanya nampak terburu-buru. Ia situasi yang sangat sukar ketika ini," katanya. Menurut Van Dijk, pasukannya kelihatan gugup sebaik sahaja dibolosi gol sehingga mengakibatkan rentak permainan the Kops menjadi tidak menentu. "Timbul perasaan gugup selepas kami dibolosi, bukan sebelumnya. Kami cuba melakukan perkara dengan tergesa-gesa dan itu adalah sifat manusia apabila berada dalam keadaan sukar. "Ini adalah satu masalah. Semua orang dalam pasukan perlu memikul tanggungjawab. Bola sepak adalah permainan berpasukan," tegasnya.-Agensi

  • Kereta anak terbabas, pasangan warga emas maut

    Pasangan warga emas maut selepas kereta yang dipandu anaknya terbabas dalam nahas jalan raya di Jasin Melaka JASIN - Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dipandu anak mereka hilang kawalan dan terbabas serta melanggar penghadang jalan dalam nahas yang berlaku di Lebuh AMJ Sungai Rambai, di sini pada Sabtu. Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 46 tahun membawa ibu bapanya. Sumber Bomba memberitahu bahawa kemalangan berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan dari arah Jasin menuju ke Muar sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang. "Akibat kejadian itu, pemandu cedera di bahagian hidung, dagu dan badan dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. "Kedua-dua ibu bapanya yang berusia 87 tahun dan 79 tahun, yang berada di dalam kereta sama, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin Pemangku Superintenden Lee Robert mengesahkan kejadian tersebut. Jelasnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, PBK I Mohd Sukur Md Ali memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian. "Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati anggota menemukan tiga mangsa masih terperangkap di dalam kereta yang remuk akibat hentaman kuat. “Pasukan operasi segera menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan pemandu yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital. "Dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian. Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujar beliau lagi.

  • Banjir Hatyai: 4,000 RAKYAT Malaysia terjejas

    SHAH ALAM - Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir di Hatyai dan beberapa daerah di wilayah Songkhla, Thailand dilaporkan selamat kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat. Bagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik sementara dan kekurangan akses bekalan makanan akibat gangguan setempat. Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok terus memantau rapat situasi banjir di Hatyai dan beberapa daerah berdekatan itu. "Konsulat Jeneral di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasinya bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan. “Konsulat Jeneral juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel dan kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas," kata kenyataan itu pada Sabtu malam. Menurut kenyataan itu, Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang aktif menguruskan keadaan. Jelas kenyataan itu, keadaan cuaca dijangka bertambah baik, dengan hujan lebat diramalkan berhenti pada Ahad dan paras air banjir dijangka surut serta keadaan keseluruhan dijangka pulih menjelang Isnin. “Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan sekitarnya supaya kekal berada di dalam bangunan jika boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan berhati-hati di kawasan terjejas banjir. “Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok turut digesa berbuat demikian,” kata kenyataan itu. Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66 74) 311 062 bagi pertanyaan umum, +(66 74) 316 274 atau +(66 81) 990 1930 untuk kecemasan dan +(66 74) 324 004 atau 312 353 untuk bantuan tambahan atau e-mel ke mwsongkhla@kln.gov.my.

  • Lelaki rebah sebelum keluarkan wang di ATM

    TAMPIN – Seorang lelaki tidak sempat mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank di Gemas di sini apabila tiba-tiba rebah di pintu masuk premis berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia dalam insiden pada Jumaat. Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, Balai Polis Gemas menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 3.27 petang. “Polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan bahawa seorang lelaki tiba-tiba rebah di hadapan Maybank Pekan Gemas. “Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 53 tahun itu rebah ketika berada di pintu masuk mesin ATM di bank tersebut, sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Gemas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. Menurutnya, hasil semakan juga mendapati individu berkenaan mempunyai rekod penyakit jantung dan pernah mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Tambahnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemui.

  • KPN tidak muncul, Indira bergegas tunggu di Bukit Aman

    KUALA LUMPUR - Berang dengan kegagalan Ketua Polis Negara Khalid Ismail hadir meskipun sudah ada surat-menyurat, para penunjuk perasaan berikrar untuk terus berada berhampiran Bukit Aman sehingga dia datang sendiri menerima anak patung beruang (teddy bear) milik anak M Indira Gandhi. Pengerusi NGO Indira Gandhi Action Team (Ingat), Arun Dorasamy menyatakan rasa kecewa dengan sikap ketua Polis Negara yang sekadar menghantar wakilnya walaupun sudah menghantar surat dan e-mel kepadanya. “Tak apa, puan. Kita tunggu di sini… kita sudah tunggu 16 tahun. Tidak ada masalah. “Masalahnya… adakah kamu baca surat saya? Kamu ada salinan? Dalam surat saya, saya sudah jelaskan apa yang kita rancang hari ini… tiada memorandum. “Sebagai simbolik, kita mahu serahkan teddy bear Prasana Diksa secara peribadi kepada KPN dan dia (Indira) mahu bercakap terus dengan KPN,” katanya pada sidang media di luar Bukit Aman. Indira yang sebak mengingatkan polis bahawa perjuangannya tidak bermula hari ini, tetapi sejak 16 tahun lalu untuk mendapatkan kembali anak perempuannya yang dilarikan suaminya yang bertukar agama ke Islam. “Saya tunggu polis ambil tindakan… selama 16 tahun. Dan kamu tak boleh luangkan masa 10 minit untuk jumpa saya. Kita bukan minta sesuatu yang sukar,” katanya. Awal pagi Sabtu, kira-kira 200 orang berkumpul di luar Kompleks Sogo untuk mendesak pihak berkuasa mengesan Prasana, yang dibawa lari oleh bekas suami Indira 16 tahun lalu. Berucap kepada orang ramai, Indira berkata ini mungkin peluang terakhir untuk dia bertemu semula dengan anaknya. Antara tokoh yang hadir pada himpunan itu termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, dan Marina Mahathir. Dalam ucapannya, Marina berkata dia hadir untuk menyokong Indira sebagai seorang ibu. “Ini isu keadilan… dan ketika agama dijadikan senjata,” tambahnya. Orang ramai yang menyertai Himpunan itu mula berkumpul pada jam 10 pagi kemudian berarak menuju ke Bukit Aman pada jam 11.15 pagi, sambil menolak stroller yang membawa teddy bear milik Prasana. Namun, kumpulan itu dihentikan kira-kira 200 meter sebelum sampai ke Bukit Aman, dengan pihak polis menghantar seorang pegawai bernama Siti untuk berurusan dengan penganjur himpunan.

  • JDT berpesta gol, benam Melaka FC 7-1

    JDT berpesta gol, benam Melaka FC 7-1 PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Melaka FC, 7-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada Jumaat. Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan enam minit bagi membuka jaringan menerusi jaringan Jonathan Silva. Gol itu dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang Melaka FC bagi menambah jaringan. Bagaimanapun, asakan-asakan tersebut dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang pertahanan Melaka FC. Minit ke-32, menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim kembali bergema apabila Bergson Da Silva menanduk masuk gol kedua tuan rumah. Selesa mendahului dua gol menyaksikan JDT tetap meneruskan asakan ke pintu gol Melaka FC bagi menambah jaringan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan. Bersambung babak kedua, JDT terus agresif memburu jaringan dan hasilnya pemain gantian Heberty Fernandes berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa pada minit ke-48. Tiga minit berselang giliran Teto Martin untuk mencatatkan nama selaku penjaring apabila meledak jaringan pada minit ke-50. Minit ke-58, giliran Bergson Da Silva menjaringkan gol kelima buat JDT sebelum Teto hun sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-66 untuk gol ke enam JDT. Pemain gantian Melaka FC, Azim Rahim berjaya menjaringkan gol saguhati buat pelawat hasil percubaan dari kawasan tengah padang yang sama sekali memerangkap penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi. Bagaimanapun kehampaan itu berjaya ditebus Heberty Fernandes yang menjaringkan gol kelapan pada masa kecederaan dan sekali gus mengesahkan kemenangan skuad Harimau Selatan.

  • Rakam wanita dalam tandas, polis buru lelaki pakai baju 'Aku Kuat Aku Ultraman'

    Rakam wanita dalam tandas, polis buru lelaki pakai baju 'Aku Kuat Aku Ultraman' KUALA TERENGGANU - Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki merakam seorang wanita secara sembunyi dalam tandas awam pusat beli-belah di sini dalam kejadian jam 6.12 petang Khamis lalu. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa seorang jurujual berusia 29 tahun mendakwa ternampak telefon bimbit dari celah pintu ketika berada di tandas wanita tingkat 1 pusat beli-belah berkenaan. "Berdasarkan laporan, suspek dipercayai lelaki berusia awal 20an, berambut perang, memakai kemeja T putih bergambar Ultraman dengan tulisan 'Aku Kuat Aku Ultraman', berseluar jean gelap dan membawa beg silang. "Sebaik perbuatannya disedari, suspek terus melarikan diri, namun mangsa sempat merakam visual suspek dari arah belakang," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu. Tambah Azli lagi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah itu turut menunjukkan suspek berlari keluar melalui pintu utama pusat beli-belah berkenaan sebelum menuju ke arah Dataran Shahbandar. "Polis sedang menganalisis rakaman penuh CCTV bagi pengecaman wajah suspek, selain mengesan saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 448/509 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan melakukan perbuatan mengaibkan," jelas beliau. Beliau berkata, pihak polis memandang serius pencerobohan ruang peribadi serta perbuatan mengaibkan khususnya di tempat awam. "Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322222 atau mana-mana balai polis berdekatan," tegasnya lagi.

  • 'Duit ambil, itu rezeki tapi tetap undi BN' - Ahmad Zahid

    KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pihaknya mengetahui ada parti yang memberikan wang tunai kepada pengundi di Sabah. Ahmad Zahid akui, ia merupakan rezeki pengundi namun dalam masa sama, beliau mengingatkan pengundi di Sabah supaya tetap memilih BN. "Kita dapat tahu, ada parti dan gabungan yang memberikan wang tunai untuk pengundi. Ada yang memberi RM300, RM500 malah RM1,000. "Itu rezeki, ambillah wang itu tetapi hati dan undi tetap kepada BN. "Namun takkan kita sanggup kerana RM300, RM500 malah RM1,000, rakyat Sabah akan sengsara selama lima tahun lagi," katanya ketika berucap sempena Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Sabah di Pejabat UMNO Sabah, pada Sabtu. Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan manifesto berkenaan. "Saya akan memantau pelaksanaan ini satu-persatu jika kita mentadbir Sabah. "Saya akan tentukan ada pengukur prestasi utama (KPI) yang akan dilaksanakan. Selain itu, saya akan tentukan ada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)," katanya. Justeru itu, Ahmad Zahid berharap rakyat Sabah dapat memberikan peluang kepada BN.

  • Kes tembak, tetak di Sendayan: Dua lelaki direman

    Kes tembak, tetak di Sendayan: Dua lelaki direman lima hari SEREMBAN - Polis telah menahan dua lelaki dalam kes seorang lelaki ditembak dan ditetak berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan, pada Rabu lalu. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua suspek itu kini direman selama lima hari sehingga 26 November ini bagi membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut. Katanya, perintah reman terhadap lelaki berusia 32 dan 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Saifol Sayuti di Mahkamah Majistret Seremban pada Sabtu. "Penahanan mereka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya di sini. Sebelum ini seorang lelaki berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai ditetak dan ditembak oleh sekumpulan individu berpelitup muka bersenjatakan pistol dan parang. Kejadian itu berlaku jam 11.23 malam ketika mangsa datang ke sebuah restoran berhampiran lokasi untuk makan malam bersama keluarga. Lelaki terbabit turut dilaporkan mempunyai 42 rekod jenayah termasuk kes samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.

  • Dua kanak-kanak tunggang basikal maut dirempuh kereta, pemandu ditahan

    YAN - Dua kanak-kanak lelaki maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta ketika menunggang basikal di Kampung Sedaka Tengah di sini pada Sabtu. Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.15 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut. Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. Katanya, pada jam lebih kurang 9.25 pagi, polis menerima makluman awal daripada orang awam membabitkan kes kemalangan di Jalan Sedaka Tengah membabitkan sebuah kenderaan dan sebuah basikal. “Dua kanak-kanak maut di lokasi kejadian namun perkembangan kes akan dimaklumkan kemudian,” katanya. Tambah beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam pada itu, pemandu kereta yang disyaki terlibat kemalangan maut membabitkan dua kanak-kanak yang sedang menunggang basikal itu akhirnya berjaya ditahan polis pada Sabtu. Katanya, pemandu kereta itu ditahan untuk diambil keterangan. Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki berusia 33 tahun itu mendapati negatif dadah.

  • Kontena buah, pulau tidak berpenghuni jadi taktik sindiket seludup dadah

    SHAH ALAM - Kaedah tinggal dadah di pulau yang tidak berpenghuni dan menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran antara taktik licik yang digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah telah dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama sehingga Oktober tahun ini, pihaknya berjaya merekodkan sebanyak 594 kes dadah dengan nilai rampasan mencecah RM459.3 juta. Katanya, sindiket penyeludupan dadah menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran bungkusan. "Selain itu, kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan. "Sindiket penyeludupan menggunakan ‘keldai dadah’ atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan," ujarnya. Selain itu katanya, terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah. "Penyeludupan menggunakan kontena-kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran juga dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan," katanya di sini pada Jumaat. Tambah beliau, modus operandi lain yang digunakan oleh sindiket dadah ialah kaedah ' drop point ' iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil oleh individu lain sebelum diedarkan kepada pelanggan mereka. Jelasnya, taktik sedemikian turut merangkumi tindakan meninggalkan dadah di pulau-pulau yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.

bottom of page