top of page

Search Results

548 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Bekas juruiring YDPA diangkat sebagai Timbalan KP KL baharu

    Timbalan KP KL baharu Datuk Mohd Azani Bekas juruiring YDPA dilantik sebagai Timbalan KP KL baharu KUALA LUMPUR – Bekas Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Azani Omar, kini diangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu. Mohd Azani menggantikan penyandangnya Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib selepas hampir 37 tahun berkhidmat dalam pasukan Sang Saka Biru tersebut. Majlis serah terima tugas penuh beristiadat itu telah dihadiri dan disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin. Majlis berkenaan dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat diikuti penandatanganan dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Mohd Azani dan Mohamed Usuf. Turut berlangsung di majlis yang sama adalah serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) antara Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab dan Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan, serta serah terima jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi antara Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dan Asisten Komisioner Sazalee Adam. Sulizmie dilantik sebagai juruiring baharu YDPA menggantikan tempat Mohd Azani. Fadil dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Azani atas pelantikan tersebut yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan terhadap kecekapan dan komitmen beliau dalam menerajui pasukan keselamatan. Beliau menaruh harapan tinggi terhadap pengalaman luas Mohd Azani mampu membantu beliau meletakkan ibu kota ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan.

  • Piala ASEAN FIFA iktiraf pembangunan bola sepak Asia Tenggara

    KELANA JAYA -Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik pelancaran penganjuran Piala ASEAN FIFA oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Ahad di Kuala Lumpur. Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan pengumuman penganjuran kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA oleh Presiden badan kawal selia bola sepak dunia Infantino itu sebagai satu langkah bersejarah yang bakal membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak serantau. "Kami amat berbesar hati dan menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino berhubung penganjuran kejohanan berprestij itu. "Pengumuman yang dibuat sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia itu amat signifikan bukan sahaja kepada bola sepak rantau ASEAN tetapi juga kepada Malaysia sendiri yang menjadi tuan rumah sidang berkenaan. “Ia membawa makna simbolik yang besar terhadap peranan dan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama serantau melalui sukan bola sepak,” katanya. Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

  • Saifuddin digugurkan dari jawatan Pengerusi PN Pahang

    Saifuddin digugurkan sebagai pengerusi PN Pahang KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang. Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Saifuddin akan digantikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Mohamed Azmin berkata, Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada malam Isnin juga menggugurkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli daripada jawatan Pengerusi PN negeri dan digantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. "Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri-negeri berkuat kuasa pada 28 Oktober 2025," katanya menerusi satu kenyataan lewat malam tadi. Kenyataan yang menyenaraikan pelantikan baharu itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN Datuk Seri Azmin Ali pada tengah malam tadi. Jelas beliau pelantikan itu dibuat selepas mesyuarat Kepimpinan Tinggi PN yang dipengerusikan oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

  • Amanah umum ustaz Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan PRN Sabah

    Amanah umum calon PRN Sabah PRN Sabah: Amanah umum ustaz Mohd Julpikar calon DUN Sulabayan KOTA KINABALU – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan Pengasas sebuah pusat tahfiz dipercayai menjadi satu-satunya calon yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) 29 November ini. Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan diumumkan sebagai calon parti itu semasa Konvensyen Amanah Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini pada Ahad. Mohd Julpikar merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti. beliau juga terbabit sebagai usahawan dalam sektor pendidikan dan komuniti, menjadikannya antara figura muda berpotensi yang mampu membawa gagasan politik berteraskan nilai dan pembangunan masyarakat ke peringkat negeri. Beliau juga berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah dan Undang-Undang) dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia serta mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah dan penglibatan dalam badan bukan kerajaan (NGO). Antara pengiktirafan yang pernah diterima beliau termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.

  • Maaf, MOT takkan layan rundingan, halalkan kesalahan lori bawa lebih muatan

    Anthony Loke Siew Fook Maaf, MOT takkan layan rundingan, halalkan kesalahan lori bawa lebih muatan' KUALA LUMPUR - Jangan bermimpi untuk kautim atau selesaikan kesalahan lori lebih muatan! Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan pihaknya tidak sesekali akan berkompromi atau melayan sebarang cubaan pemain industri untuk berunding bagi menghalalkan kesalahan membawa muatan berlebihan oleh kenderaan berat. Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang membawa lebihan muatan akan diteruskan tanpa sebarang pengecualian demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan mengelak kerosakan infrastruktur. "Saya agak terkilan dengan tindakan sebahagian daripada pemain-pemain industri ini. Mereka tahu selama ini sebenarnya mereka nak kita berunding dengan mereka. "Ini bagi saya suatu yang mencabar autoriti kerajaan. Dia (pemain industri) sudah buat salah, dia minta saya nak berunding dengan dia. Jadi saya cakap lupakan saya. Tak ada rundingan, penguatkuasaan undang-undang akan tetap berjalan. "Jadi lebih baik mereka ini mematuhi dan mengambil segala tindakan supaya pastikan mereka mematuhi peraturan, undang-undang " katanya di Dewan Rakyat hari ini.00 Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan lisan apabila menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (PH-Bangi), yang meminta penjelasan susulan rungutan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) bahawa tindakan tegas JPJ meningkatkan kos operasi kerana lori terpaksa membuat lebih banyak perjalanan. Mengulas lanjut dalam perkembangan sama, Anthony Loke ,turut menambah bahawa keselamatan pengguna jalan raya tetap menjadi keutamaan kerajaan berbanding keuntungan mana-mana pihak industri. "Mereka membawa lebihan muatan, jadi apa pilihan kita? Adakah kita nak tunduk kepada permintaan-permintaan kumpulan ini maka kita tutup mata sajalah? Tutup mata jangan buat penguatkuasaan? Apakah reaksi rakyat?. "Semua akan mengatakan bahawa isu sekarang adalah keselamatan jalan raya. Bermacam-macam kemalangan berlaku akibat kenderaan berat,” tegas beliau lagi.

  • Trump berlepas ke Jepun selepas Malaysia

    Trump PETALING JAYA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump berlepas dari Malaysia pagi ini bagi meneruskan lawatan enam hari ke tiga negara Asia dengan Jepun sebagai destinasi seterusnya. Beliau yang tiba ke Malaysia untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dipengeruskan oleh Malaysia pada Ahad menaiki pesawat Khas Air Force One telah menamatkan lawatan julung kali ke Malaysia itu hari ini. Trump dijangka tiba di Tokyo sekitar pukul 5 petang waktu tempatan, di mana acara pertama beliau ialah kunjungan hormat ke atas Maharaja Jepun, Naruhito, di Istana Diraja. Sepanjang lawatan ke Jepun, Trump turut dijadualkan mengadakan rundingan rasmi dengan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi. Seperti di Malaysia, pemimpin AS itu dijangka disambut dengan penuh istiadat serta penghormatan rasmi oleh kerajaan Jepun. Sidang kemuncak di Tokyo dijangka menumpukan kepada isu keupayaan pertahanan Jepun dan rancangan pelaburan besar negara itu di Amerika Syarikat. Selain pertemuan dengan Maharaja Naruhito, Trump juga dijadualkan melawat pangkalan tentera Yokosuka di selatan Tokyo untuk menyampaikan ucapan di atas kapal pengangkut pesawat, sebelum menghadiri majlis makan malam bersama tokoh korporat Jepun pada malam yang sama. Terdahulu, Trump tiba di Malaysia pagi Ahad bagi memulakan lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. Ketibaan Trump di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa Menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan. Trump mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga esok bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. Lawatan rasmi itu merupakan atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025. Ini merupakan lawatan pertama Trump ke rantau Asia Tenggara selepas dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lalu.

  • Bersatu Dungun bawa usul minta Muhyiddin berehat, dua jawatan utama ditukar

    Bersatu Dungun luluskan usul minta Muhyiddin berehat, dua jawatan utama ditukar DUNGUN – Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Dungun memutuskan untuk mengemukakan usul agar presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat daripada jawatannya selain mencadangkan pertukaran Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan, lapor Sinar Harian hari ini. Ketua Bersatu Bahagian Dungun Datuk Aziz Ismail berkata, ketetapan itu diambil hasil persetujuan bersama yang dicapai oleh kepimpinan di tiga peringkat termasuk Srikandi dan Armada dalam mesyuarat bahagian yang diadakan pada 20 Oktober lalu. Katanya, usul tersebut bukan dibawa secara tergesa-gesa atau bersifat penentangan, sebaliknya sebagai isyarat dan mesej jelas daripada akar umbi Dungun kepada pucuk pimpinan parti. "Usul ini bukan dibawa dalam mana-mana jelajah, tetapi hasil keputusan rasmi mesyuarat bahagian pada 20 Oktober. Kami Dungun bersedia untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan akan membawa usul ini ke peringkat lebih tinggi. "Sebab itulah juga kita mengadakan širi jelajah bagi menjelaskan situasi sebenar apa yang berlaku di dalam parti kepada ahli, " katanya. Aziz menambah bahawa, pada mesyuarat itu tiga usul telah diluluskan iaitu pertama supaya Presiden berehat, kedua pertukaran Setiausaha Agung, dan ketiga pertukaran Ketua Penerangan. Jelasnya lagi, keputusan itu diambil setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk isu kesihatan dan perbicaraan mahkamah melibatkan Muhyiddin selain keperluan menstabilkan hubungan dengan rakan komponen, khususnya Pas. Ketika ini jawatan Setiausaha Agung Bersatu disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Ketua Penerangan dipegang oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz. "Dalam konteks Terengganu, kita tidak mahu wujud kekecohan berhubung calon perdana menteri atau 'poster boy' daripada Bersatu. "Kita perlu jaga hubungan dengan Pas kerana kerjasama ini penting untuk Bersatu kekal kuat di negeri ini, tanpa Pas mustahil kita akan menang walau satu kerusi di Terengganu," katanya. Beliau turut menegaskan bahawa usul berkenaan bukan bertujuan melemahkan parti, sebaliknya satu langkah untuk mengembalikan keyakinan dan hala tuju asal Bersatu sebagai parti yang menolak rasuah serta penyalahgunaan kuasa. Tambahnya, Bersatu Dungun berpandangan parti masih mempunyai potensi besar di Terengganu dengan sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peluang di beberapa kawasan Parlimen jika disusun strategi dengan baik.

  • Perjanjian damai Thailand-Kemboja buka era baharu keamanan serantau

    PETALING JAYA - Perjanjian bersejarah antara Thailand dan Kemboja menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara, sekali gus membuka lembaran baharu era keamanan dan kerjasama dua hala di rantau Asia Tenggara. Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perjanjian bersejarah dikenali sebagai Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur itu berjaya dimeterai semalam dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. "Langkah ini lahir daripada rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri Malaysia pada Julai lalu dan akhirnya membawa hasil positif kepada kestabilan serantau. “Ia juga menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan, dan membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini. Semalam, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menyaksikan satu lagi sejarah penting apabila Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memeterai Perjanjian KL Accord bagi melaksanakan genjatan senjata, sekali gus mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara. Pemeteraian perjanjian damai itu ditandatangani antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu majlis khas yang turut dihadiri dan disaksikan oleh Trump. Turut hadir adalah Anwar yang juga merupakan Pengerusi ASEAN.

  • ASEAN ke-47: Lima sidang utama berlangsung hari ini

    ASEAN ke-47: 5 sidang utama berlangsung hari ini PETALING JAYA - Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Isnin memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan. Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lima sidang utama dijadual berlangsung hari ini. “Hari ini, perjalanan diplomasi ASEAN diteruskan dengan lima sidang utama (iaitu) Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28 dan Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5. “(Turut dijadualkan berlangsung) Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara hari ini. Tunku Nashrul juga menambah bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan pimpinan lain. “Mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan penganjuran Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog," tegasnya.

  • Dua remaja tendang motosikal polis dicekup

    Dua remaja biadab tendang motosikal polis sehingga terjatuh dicekup TEMERLOH - Tindakan biadab dua remaja lelaki yang bertindak berani menendang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga menyebabkan seorang anggota polis terjatuh dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail di sini awal pagi Ahad berjaya ditangkap polis. Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, anggota dari Balai Polis Temerloh sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut. Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika menjalankan rondaan beruniform, mangsa telah melihat sekumpulan individu sedang berkumpul dipercayai untuk berlumba di tepi jalan berhampiran sebuah bank di kawasan tersebut. "Mangsa yang berusia 23 tahun bersama rakan setugas telah bertindak menghampiri kumpulan tersebut tetapi kesemua mereka melarikan diri. "Pengadu kemudian telah bertindak mengekori sebuah motosikal warna hitam tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki suspek dengan membunyikan siren dan lampu amaran. "Suspek kemudiannya diarahkan untuk berhenti namun enggan berbuat demikian," katanya dalam kenyataan pada Ahad. Mohd Nasyim berkata, salah seorang suspek telah bertindak menendang tayar motosikal mangsa sehingga menyebabkan dirinya terjatuh dan suspek pula berjaya melarikan diri. "Mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki kanan kemudian dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan," jelasnya lagi. Tegasnya, pihaknya segera melancarkan siasatan dan berjaya menahan kedua-dua suspek pada jam 2.30 petang pada hari sama. "Kedua-dua remaja berusia 13 tahun itu ditangkap hasil kerjasama ahli keluarga dan polis turut merampas sebuah motosikal jenis Demak EX 90 warna hitam bagi membantu siasatan,” "Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya lagi.

  • Guru tadika rugi RM100,000 WhatsApp suami kena godam

    Guru tadika rugi RM100,000 kena scam, whatsapp suami kena godam JOHOR BAHRU - Seorang wanita tempatan berkerugian RM100,000 simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan apabila nombor WhatsApp milik suaminya digodam pada minggu lalu. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 52 tahun merupakan seorang yang bekerja sebagai guru tadika, manakala suaminya bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta. Jelas beliau, semasa kejadian berlaku suaminya berada di China atas urusan kerja selama seminggu. “Mangsa telah menerima mesej WhatsApp yang disangka milik suaminya. Mangsa diminta untuk meminjamkan wang bagi membantu ‘suaminya’ dalam urusan perniagaan atas alasan akaun bank miliknya tidak dapat digunakan. “Mangsa seterusnya membuat bayaran wang ke akaun pihak ketiga seperti yang diminta pada Jumaat lalu. “Namun selepas pembayaran dibuat, mangsa menghubungi suaminya untuk bertanyakan mengenai bayaran balik wang tersebut sebelum suaminya memaklumkan nombor WhatsApp miliknya telah digodam,” katanya dalam kenyataan pagi tadi. Tambah Raub, mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. “Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta mengesan dan menahan pihak yang terlibat.

  • PRN17 Sabah: Bekas Speaker Pandikar Amin mahu bertanding di DUN Pintasan

    Pandikar Amin Mulia KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia percaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkannya sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan 29 November depan. Beliau percaya bahawa kedudukannya sebagai Timbalan Presiden GRS dan peneraju kepada salah satu parti komponen gabungan itu, pucuk pimpinannya akan mengambil kira peranannya dalam menentukan calon di DUN Pintasan. Bekas Speaker Dewan Rakyat itu merasakan bahawa beliau masih mampu berkhidmat dan menyumbang kepada rakyat, malah menolak tanggapan bahawa faktor usia menjadi penghalang, sambil mengingatkan bahawa setiap orang akan menempuh usia tua suatu hari nanti. "Saya mahu bertanding kerana saya fikir saya boleh lagi. Orang bilang saya tua, jadi, kamu orang muda-muda jangan selalu hentam orang tua. Kerana kamu akan jadi tua juga satu hari nanti. Jadi secara serius ya, saya mahu bertanding di Pintasan," katanya. Sebelum itu, beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemberita mengenai pengakuannya dalam ucapan yang berhasrat mahukan kerusi Pintasan untuk ditandinginya dalam PRN kali ini. Mengulas lanjut mengenai proses perbincangan pembahagian kerusi dalam GRS, beliau mengakui ia masih belum selesai dan belum dimuktamadkan setakat ini.

bottom of page