top of page

Search Results

654 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Tiada rombakan besar Kabinet, kata PM Anwar Ibrahim

    KUALA LUMPUR - Tiada sebarang rombakan besar-besaran akan dilakukan dalam barisan Kabinet kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember ini. Sebaliknya, Perdana Menteri itu memberi bayangan bahawa hanya akan berlaku pengisian kekosongan beberapa jawatan menteri dalam Jemaah Menteri kelak. Katanya, ini kerana tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir. "Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Mungkin rombakan itu, kalau ada masa yang panjang tapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu setengah tahun saja, jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan. "Bagaimanapun, saya sedang merenung apakah langkah yang harus diambil tapi mengisi kekosongan itu ada keperluan," katanya di ibu negara pada Isnin. Jawatan-jawatan menteri yang mengalami kekosongan bermula Selasa ialah seperti berikut: • Menteri Ekonomi — kosong sejak Datuk Seri Rafizi Ramli letak jawatan • Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam — kosong sejak peletakan jawatan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad • Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi — Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan kabinet pada 8 November lalu. • Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) — Tempoh perkhidmatan Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, berakhir esok. Selain Tengku Zafrul, tiga lagi Menteri yang akan tamat penggal pertama sebagai Senator ialah: * Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; * Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir * Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

  • Guru matematik mengaku tidak bersalah sentuh kemaluan murid lelaki

    KUALA LUMPUR - Seorang guru sekolah telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki dalam bilik guru, Ogos lalu. Tertuduh Mansor Ramly, 58, yang mengajar mata pelajaran Matematik itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron. Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyentuh alat sulit murid Tahun Enam berusia 12 tahun dalam bilik guru sebuah sekolah kebangsaan di Batu Pahat, antara jam 12.20 hingga 1.20 tengah hari, 5 Ogos lalu. Berdasarkan laporan, mangsa dipanggil tertuduh ke bilik guru sebelum diperlakukan sedemikian. Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama. Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 membabitkan tambahan hukuman penjara maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali. Kejadian itu hanya terbongkar selepas mangsa menceritakannya kepada guru disiplin dan diarahkan untuk membuat laporan polis. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Haressh Tamilselvan. Mahkamah selepas mendengar hujah kedua-dua pihak membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan memerintahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai. Mahkamah turut menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

  • Kes rasuah: SPRM sahkan Sofia Rini bebas dengan jamin

    PUTRAJAYA: Seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong yang dikaitkan dalam klip video perbualan bersama ahli perniagaan berhubung isu rasuah telah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Isnin. Wanita itu dijamin selepas tempoh tahanan reman terhadapnya tamat hari ini. Maklumat terbaharu itu telah disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, seeprti dipetik dan dilaporkan oleh portal berita BH hari ini. "Reman tamat hari in dan tidak disambung. (Dibebaskan) dengan jaminan SPRM," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini. Sebelum ini wanita itu ditahan bersama dua lagi individu iaitu ahli perniagaan bernama Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ditahan SPRM pada 28 November lalu. Mereka ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan membantu siasatan. Sementara itu, Albert Tei dan Shamsul Iskandar masih direman selama enam hari sejak Sabtu lepas.

  • Trump beri amaran, desak Maduro letak jawatan

    WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan mengeluarkan amaran keras kepada diktator Venezuela, Nicolas Maduro melalui panggilan telefon, lapor portal berita New York Post semalam. Trump menerusi amaran itu mengarahkan Maduro untuk meletakkan jawatannya dan berundur atau bersedia berdepan akibat yang buruk ketika ketegangan meningkat antara Caracas dengan Washington. Menurut portal berita Miami Herald yang memetik sumber, dalam satu panggilan telefon antara Trump dan Maduro, presiden Venezuela itu menuntut agar beliau dibenarkan mengekalkan kawalan ke atas tenteranya. Tuntutan itu dibuat jika Madurto mengadakan pilihan raya bebas di negaranya.  Presiden Venezuela itu juga dilaporkan meminta pengampunan global atas semua jenayah yang didakwa dilakukannya. Namun, Trump menolak kedua-dua permintaan itu sebelum presiden AS itu membuat tawaran yang mungkin sukar ditolak oleh Maduro iaitu berundur sekarang atau terima akibatnya. Trump juga memberi amaran bahawa operasi ketenteraan di dalam Venezuela mungkin akan bermula tidak lama lagi.- Agensi

  • Barang milik Alebert Tei dirampas ikut prosedur - SPRM

    PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia pada hari ini menafikan dakwaan kononnya pihaknya merampas barangan milik ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan. Bahagian Komunikasi Strategik SPRM sebaliknya berkata, segala barang milik Albert Tei yang disita pada hari penahanannya telah direkodkan mengikut prosedur yang ditetapkan serta disahkan sendiri oleh individu tersebut. Katanya, senarai lengkap rampasan itu telah ditandatangani Albert, dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 turut diserahkan kepadanya pada 28 November lalu. “Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti. “SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barangan Albert Tei tanpa mengikut prosedur,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Katanya, SPRM sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa. Sebelum ini media melaporkan bahawa peguam yang mewakili isteri Albert Tei mendakwa SPRM telah merampas barangan Albert Tei secara tidak sah. Peguam itu turut memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk mengeluarkan inventori harta yang didakwa dirampas ketika penahanan Albert tiga hari lalu.

  • Arsenal gagal tewaskan 10 pemain Chelsea di Stamford Bridge

    IMPIAN The Gunners untuk memalukan Chelsea dan pulang dengan tiga mata penuh di Stamford Bridge bagaimanapun berkecai apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi. the Gunners yang turun dengan keyakinan tinggi terpaksa mengikat seri dengan pasukan the Blues yang beraksi dengan 10 pemain selepas perancang utama pasukan tuan rumah Moises Caicedo dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama akibat kekasarannya terhadap Mikel Merino. Namun, Gunners percaya keputusan seri 1-1 di Stamford Bridge itu tetap satu keputusan yang positif. Biarpun beraksi dengan 10 pemain, tuan rumah Chelsea mengejutkan pelawat apabila Trevoh Chalobah menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan penjuru, sekali gus meletakkan tekanan kepada pendahulu liga itu untuk bangkit semula. Bagaimanapun, kebijaksanaan Mikel Merino berjaya membantu pasukannya menyamakan kedudukan buat Arsenal dari jarak dekat, namun biarpun memiliki kelebihan lebih 30 minit untuk memburu gol kemenangan, kekebalan benteng pertahanan Chelsea sehingga wisel penamat menghampakan impian Arsenal memburu tiga mata penuh. "Bermain menentang 10 orang, anda pasti kecewa jika tidak meraih kemenangan kerana kelebihan memihak kepada anda. "Namun, mereka (Arsenal) pasti akan menerima keputusan ini jika ditanya pada awal permainan, " kata bekas pemain Arsenal Theo Wallcott yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

  • Seorang pekerja maut, tujuh parah nahas van kilang

    GEORGE TOWN – Seorang maut manakala tujuh lagi cedera parah selepas sebuah van kilang yang dinaiki pekerja terbabas dalam kejadian nahas jalan raya di Jalan Mount Erskine di sini awal pagi Isnin. Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi itu, van kilang berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas, menyebabkan empat daripada lapan mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan BBP Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi. “Sebaik tiba, pasukan mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah van kilang dengan lapan mangsa terlibat. "Empat mangsa didapati tersepit dan kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Tambahnya, kesemua mangsa yang tersepit dalam van berjaya dikeluarkan anggota bomba pada jam 7.17 pagi sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan selanjutnya. "Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam pekerja wanita berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun. "Sementara seorang lagi pekerja wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian namun Identiti sebenar mangsa maut belum dikenal pasti lagi. "Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," tegas beliau. - malaysiatoday.com.my

  • FA: Sabah tamat badi 27 tahun mara ke final

    PETALING JAYA – Sabah FC berjaya menamatkan kemarau pencapaian 27 tahun lalu apabila akhirnya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala FA kali ini. Sabah telah menewaskan naib juara musim lalu, Selangor FC dengan keputusan 5-4 pada penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam Ahad. Pada aksi sebentar tadi, kedua-dua pasukan seri 3-3 dan pemenang terpaksa diheret ke penentuan penalti selepas terikat 5-5 secara agregat. Paling menarik, final kali ini mengulangi detik 1998 yang ketika itu menyaksikan The Rhinos turut beradu tenaga dengan Johor namun kali ini cabaran lebih sukar memandangkan lawan kali ini yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki skuad lebih kuat untuk dilabel sebagai pilihan. Terdahulu, Selangor FC sepatutnya sudah mampu untuk menghasilkan sekurang-kurangnya dua gol sepanjang 30 minit pertama namun peluang diraih gagal disudahkan dengan lebih baik oleh Chrigor Moraes dan Faisal Halim. Bagaimanapun, minit ke-33 menyaksikan Faisal segera menebus kekecewaan apabila bijak melepaskan percubaan yang menewaskan seorang pertahanan dan penjaga gol lawan, Damien Lim bagi meletakkan tuan rumah di depan. Sabah FC hanya memerlukan dua minit di babak kedua untuk kembali menyamakan kedudukan menerusi Dean Pelekanos namun ia hanya bertahan empat minit apabila Chrigor sekali lagi beri kelebihan buat The Red Giants. Memasuki minit ke-62, ayam tambatan The Rhinos, Ajdin Mujagic terus menemui sasaran untuk menghasilkan gol kedua pasukannya tetapi 11 minit selepas itu, Faisal sekali lagi menggegar dengan jaringan ketiga tuan rumah. Kesilapan Muhamammad Raimi Shamsul mengasari Farhan Roslan mengundang padah apabila pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir menghadiahkan penalti buat Sabah FC dan kesempatan pada minit ke-87 itu tenang disempurnakan oleh Mujagic. Sebaik aksi memasuki masa kecederaan, perjalanan The Red Giants untuk mengharungi masa tambahan bertambah sukar apabila pertahanannya, Mamadou Diarra dilayangkan kad merah pada masa kecederaan. Selepas satu gol dibatalkan kerana kesalahan offsaid, Chrigor sepatutnya sudah mampu menghasilkan gol keempat Selangor FC namun tolakannya pada minit ke-101 sedikit serong ke sebalah kiri gawang Sabah FC. Pada penentuan penalti, Sabah FC menang 5-4 selepas dua pemain tuan rumah, Harith Haiqal Adam Afkar dan Mohammad Abualnadi gagal menyudahkan sepakan masing-masing.

  • EPL: Arsenal sedia malukan Chelsea d Stamford Bridge

    PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal menerima tonik penting menjelang kunjungan ke Stamford Bridge apabila Mikel Arteta mengesahkan perkembangan positif dua penyerang utama, Viktor Gyokeres dan Kai Havertz yang semakin hampir kembali beraksi. Selama beberapa perlawanan, Arsenal terpaksa beroperasi tanpa penyerang tulen yang memaksa Arteta mengubah pelan permainan. Mikel Merino menjadi opsyen sementara dengan sumbangan dua gol ketika menewaskan Slavia Praha, namun Arteta mengakui kehadiran semula jentera serangan sebenar amat diperlukan untuk berdepan Chelsea tengah malam ini. “Kami masih ada masa lagi. Kita lihat bagaimana perkembangan semua pemain. “Viktor dan Kai sudah tunjuk perkembangan positif dan sekarang kami hanya tunggu dan lihat,” ujar Arteta. Selain Gyokeres dan Havertz, Arsenal turut memantau kondisi Leandro Trossard selepas pemain itu dikeluarkan ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich. Arteta bagaimanapun percaya kecederaan tersebut tidak membimbangkan. Gabriel Jesus juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan selepas beraksi dalam perlawanan tertutup bagi memulihkan rentak permainan. “Kami perlu melihat Gabi kerana dia sudah lama berehat," tegasnya lagi.- Agensi

  • JDT mara ke final Piala FA

    SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya berjaya mengesahkan slot ke pentas akhir Piala FA Malaysia selepas melakar kemenangan 2-0 (agregat 4-1), ke atas Kuching City FC pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad. Bermula garang sebaik wisel permulaan, JDT hampir membuka jaringan seawal minit ke-2, namun rembatan Heberty Fernandes berjaya diselamatkan Muhammad Haziq. Tersentak dengan asakan-asakan tersebut Kuching City FC dilihat mula bangkit mengatur asakan balas ke gawang JDT. Namun, asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya diselamatkan gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. Skuad Harimau Selatan itu sekali lagi hampir menjaringkan gol sulung pada minit ke-15, namun Muhammad Haziq, sekali lagi mempamerkan ketangkasannya bagi menyelamatkan percubaan tersebut. Muhammad Haziq sekali menyelamatkan pintu gol The Cats pada minit ke-19 sebelum mengecewakan percubaan penyerang berbisa skuad Harimau Selatan, Bergson Da Silva pada minit ke-22. Pintu gol pelawat akhirnya bolos juga pada minit ke-26 hasil rembatan deras Bergson yang turut menggamatkan seketika Stadium Sultan Ibrahim. Perlawanan selepas itu dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang menyaksikan keputusan kekal hingga tamat babak pertama. Bersambung babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan. Dalam masa sama, pelawat turut sama mengatur asakan ke pintu gol tuan rumah dalam usaha merapatkan jurang gol. Minit ke-81, Muhammad Haziq sekali lagi menghampakan percubaan penyerang Jairo Da Silva. Bagaimanapun, seminit berselang, pintu gol Kuching City FC bolos juga menerusi jaringan pemain pertahanan, Eddy Israfilov pada minit ke-82.

  • Muhyiddin sahkan MIC ada mohon sertai PN

    SHAH ALAM -Perikatan Nasional (PN) hari ini telah mengesahkan bahawa pihaknya menerima permohonan daripada MIC untuk menyertai gabungan parti tersebut. Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik Free Malaysia Today berkata, permohonan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN tidak lama lagi. "Kita tidak dapat mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini kerana fokus tertumpu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PN) Sabah. “Saya telah beritahu Presiden dan Setiausaha Agung MIC bahawa kami akan membincangkan permohonan ini dengan terperinci selepas pilihan raya Sabah. “Secara prinsipnya, semua parti PN menyambut baik MIC, tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri konvensyen Urimai di IDCC pada Ahad. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang merupakan serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memohon untuk menyertai gabungan itu dan ia juga akan dibincangkan bersama pada Majlis Tertinggi PN. Sebelum ini MIC dilaporkan bahawa bersedia untuk menamatkan keanggotaan sebagai komponen BN dan bersedia untuk memohon secara rasmi menyertai PN. Itu antara tiga usul yang dikemukakan oleh perwakilan MIC dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 yang diadakan pada 16 November lalu di Shah Alam. Spekulasi mengenai hala tuju masa depan MIC telah berlarutan beberapa bulan, dengan parti itu dikatakan tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik tanahair bersama komponen BN. MIC merupakan parti politik di Malaysia dan merupakan salah satu pengasas gabungan BN sebelum ini dikenali sebagai Perikatan, yang memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

  • Warga emas dibunuh guna cangkul di Manjung

    MANJUNG – Seorang lelaki warga emas telah ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Kampung Koh dekat sini pada Sabtu. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 78 tahun ditemui oleh ahli keluarganya sebelum mereka segera membuat laporan di Balai Polis Kampung Koh. Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut pada jam 1.30 tengah hari. Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan muka. "Pemeriksaan di lokasi menemui sebatang cangkul yang mempunyai kesan darah dan dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa. "Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi. Tambah beliau, hasil laporan forensik mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan tumpul dan tajam yang serius pada bahagian kepala. Menurut Hasbullah,polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam siasatan. “Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dalam pembunuhan terbabit dan usaha pengumpulan bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan,” tegsnya lagi.

bottom of page