top of page

Search Results

657 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Angka mangsa banjir di 10 negeri cecah 18,782 orang

    SHAH ALAM - Angka mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di 10 negeri seluruh negara telah mencecah kepada seramai 18,782 mangsa. Kesemua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 128 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dikemaskini setakat jam 11.02 pagi Selasa. Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 10 negeri yang terkesan teruk akibat banjir ialah Selangor, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kelantan muncul sebagai negeri yang merekodkan angka mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 9,853 orang dari 3,605 keluarga melibatkan empat daerah di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh. Manakala, 40 PPS telah dibuka sejak Jumaat lalu menempatkan 3,022 lelaki dewasa, 3,163 perempuan dewasa, 1,722 kanak-kanak lelaki, 1,609 kanak-kanak perempuan, 167 bayi lelaki dan 170 bayi perempuan. Di Selangor, sebanyak 19 PPS dibuka di lima daerah antaranya Kuala Selangor, Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Sabak Bernam. "Jumlah mangsa terjejas seramai 2,720 orang terdiri daripada 747 keluarga. Mangsa yang paling ramai ialah di PPS Kuala Selangor (1,081 orang). Kesemua dapatan ini diperoleh sejak PPS mula dibuka Ahad lalu. "Perlis pula mencatatkan seramai 1,324 mangsa daripada 439 keluarga. Sebanyak 13 PPS dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau," jelas statistik info bencana itu. Sementara itu, Kedah mencatatkan seramai 1,658 mangsa daripada 577 keluarga, membabitkan 16 PPS di tiga daerah seperti Kubang Pasu, Sik dan Kulim. Perak turut merekodkan jumlah mangsa yang tinggi iaitu seramai 2,805 orang daripada 886 penduduk ditempatkan di 32 PPS di enam daerah. "Di Pulau Pinang, tiga PPS dibuka di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, menempatkan 297 orang dari 78 keluarga. "Terengganu, Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing hanya dibuka satu PPS dalam satu daerah, manakala Pahang membuka dua PPS di Raub serta Lipis. "Bagi jumlah mangsa di Terengganu (68), Sarawak (32), Pahang (23) dan Kuala Lumpur (2)," ujar statistik berkenaan," menurut meteorologi lagi,

  • Takut dimarah ibu pulang lewat, gadis kantoi reka cerita dirogol pemandu e-hailing

    ISKANDAR PUTERI – Gara-gara takut dimarahi kerana pulang lewat ke rumah, seorang gadis sanggup mereka-reka cerita kononnya dia telah dirogol dan dipaksa melakukan seks luar tabii oleh pemandu e-hailing kepada ibunya. Tetapi tipu helah perempuan berusia 25 tahun itu tidak dapat membantu menyelamatka dirinya apabila terpaksa mengaku kejadian itu tidak berlaku sebaliknya ia hanya rekaan sebagai helah kerana takut dimarahi ibunya kerana pulang lewat ke rumah. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, polis menerima laporan ‘kejadian’ itu pada pukul 10.27 pagi, semalam daripada wanita berkenaan yang mendakwa serangan tersebut berlaku sehari sebelum itu di dalam sebuah kereta di kawasan Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai. Katanya, hasil siasatan yang dijalankan oleh polis mendapati pengadu sebenarnya mereka-reka cerita rogol selepas dia dimarahi keluarganya kerana pulang lewat ke rumah. “Polis mengesahkan insiden yang didakwa tidak pernah berlaku dan pemandu Grab yang disebut tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan jenayah seperti yang dituduh. “Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu, apatah lagi membabitkan dakwaan serius seperti rogol kerana ia boleh menjejaskan siasatan terhadap mangsa sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Tambah Kumarasan lagi, perbuatan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Beliau turut menegaskan bahawa masa dan tenaga penyiasat sepatutnya digerakkan untuk membantu mangsa jenayah sebenar, bukannya terbuang dengan laporan yang dibuat hanya untuk menutup masalah peribadi.- malaysiatoday

  • Bekas jurulatih wusyu didakwa amang seksual terhadap remaja perempuan

    KUALA LUMPUR - Seorang bekas jurulatih wusyu pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, empat tahun lepas. Chia Kian Keow, 49, yang berdepan dua pertuduhan, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang ketika kejadian berumur 14 tahun tujuh bulan dan 15 tahun tiga bulan di sebuah pusat latihan wusyu di Batu Caves pada 5.30 petang 16 Mei 2021 dan sekitar Mac 2022. Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan minimum dua sebatan, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. Beliau juga memohon mahkamah mengarahkan tertuduh agar tidak mengganggu mangsa dan saksi, serta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Peguam Sivahnanthan Ragava, yang mewakili tertuduh, pula memohon jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Beliau berkata, anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan kolestrol selain perlu menanggung ibunya yang uzur serta memerlukan rawatan di hospital. "Tertuduh akur dengan arahan polis untuk hadir ke mahkamah serta berjanji akan hadir pada setiap kali sebutan kes dan tidak akan mengganggu mangsa serta saksi," katanya. Hakim Norshila Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan. Beliau menetapkan 24 Disember ini untuk sebutan kes. - Bernama

  • Bangunan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan terbakar

    Bangunan pusat Tarbiyah Islam di Kelantan hangus terbakar. foto Sinar Harian KOTA BHARU - Sebuah pejabat pengurusan dan pondok pengawal di bangunan milik Pas iaitu Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini terbakar dalam kejadian yang berlaku pada pagi Selasa. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan 1, Che Mazlan Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.31 pag mengenai kebakaran tersebut. Katanya, bertindak atas panggilan tersebut sepasukan anggota pemadam dengan jentera bomba digerakkan ke lokasi kebakaran untuk tindakan lanjut. "Jentera tiba di lokasi jam 5.40 pagi bersama lapan anggota termasuk pegawai. "Kebakaran terbabit melibatkan sebuah pondok pengawal berserta pejabat pengurusan PUTIK yang membabitkan kemusnahan sebanyak 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, operasi pemadaman api berjaya dikawal pada jam 5.49 pagi. "Pada jam 6.48 pagi operasi pemadaman tamat sepenuhnya.- malaysiatoday

  • Lelaki mati berbalas tembakan dengan polis

    Seorang lelaki mati berbalas tembakan dan polis menjumpai pistol Colt 45, peluru Kynoch, serta dadah dalam kereta suspek. Foto Awani/PDRM SEPANG -Seorang penjenayah lelaki mati ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian yang berlaku di Batu 8, Jalan Banting - Dengkil di sini pada Isnin. Polis memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada jam lebih kurang 8.10 malam apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan operasi mengesan dan mencegah kejadian samun di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang. Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kenderaan pasukan polis telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan. Katanya, suspek tiba-tiba telah melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah anggota polis. "Pasukan polis telah membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan. "Suspek yang dikenalpasti sebagai seorang warga tempatan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada pagi Selasa. Tambah beliau, pemeriksaan lanjut pasukan JSJ dalam kenderaan suspek berjaya menemui sepucuk senjata api jenis colt 45, tujuh paket lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah dan tiga butir peluru jenama kynoch kaliber.45. Tegas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis dalam kes ini.- malaysiatoday.com.my

  • Gol gunting Ronaldo tambah koleksi gol ke-955 karier

    Gol gunting dijaringkan Ronaldo menambah koleksi gol karier ke-955 setakat ini. BINTANG sensasi bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan bahawa usianya hanyalah angka apabila meledakkan gol hasil jaringan akrobatik luar biasa, sekali gus membantu Al-Nassr membelasah Al Khaleej 4-1 dalam aksi Liga Pro Saudi pada Isnin. Kapten Portugal berusia 40 tahun itu menyambut hantaran lintang dari sayap kanan dengan melakukan sepakan gunting deras yang tidak memberi sebarang peluang kepada penjaga gol lawan untuk menepis bola tersebut. Jaringan tersebut lantas mengimbau kembali memori gol ikoniknya di Turin suatu ketika dahulu dalam Kejohanan Bolasepak Liga Juara-Juara Eropah. Skuad kendalian Jorge Jesus mempamerkan dominasi sejak wisel permulaan, dengan Joao Felix menjadi watak penting pada babak pertama apabila merekodkan satu gol dan satu bantuan jaringan. Terdahulu, Ronaldo hampir mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti dan satu percubaan jarak dekat, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol, Moris. Aksi tersebut turut disajikan dengan drama layangan kad merah kepada pemain Al Khaleej. Sentuhan penyudah Ronaldo melengkapkan kemenangan bergaya itu menjadikan ia gol ke-955 dalam karier gemilangnya. Kemenangan ini memastikan Al-Nassr terus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini dengan sembilan kemenangan daripada sembilan perlawanan. Ronaldo baru sahaja kembali menyertai kelab selepas tugasan antarabangsa bersama Portugal. Walaupun dilayang kad merah ketika aksi menentang Ireland, beliau tetap meraikan kejayaan pasukan negaranya yang sah layak ke Piala Dunia. Jika disenaraikan, Ronaldo bakal mencipta sejarah baharu dengan penampilan keenam di pentas Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan lagi statusnya sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.- Agensi

  • Kes bunuh, liwat bayi 9 bulan: ‘Kau binatang, bukan manusia’

    Reaksi ibu mangsa di media sosial. Kredit media sosial SHAH ALAM – “Kau tak layak dipanggil manusia, tetapi binatang.” Demikian luahan seorang ibu selepas pelaku yang membunuh anak lelakinya berusia sembilan bulan pada tahun 2021 akhirnya telah dijatuhkan hukuman berat atas kesalahan meliwat dan membunuh bayi tersebut. Menerusi satu hantaran di Facebook, pengguna akaun BiEy Adawiah mengakui bahawa dia berasa kesal dengan tindakan pelakunya iaitu suami kepada pengasuh anaknya yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut. “Apabila aku dengar DPP (Timbalan Pendakwa Raya) beritahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .Ya Allah gelapnya dunia. "Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia! Kau memang Binatang!” keluhnya dalam status FB tersebut. Wanita itu bagaimanapun bersyukur apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan terhadap tertuduh yang juga seorang penganggur. “Setelah empat tahun aku menunggu keputusan dengan sabar sama ada kau bersalah atau tidak, hari ini kau dijatuhkan hukuman. "Sebelum ini kau tidak mengaku kau buat. Bermainlah anak di taman syurga. Dunia yang kejam ini bukan tempatmu. Semoga kita berjumpa di sana,” katanya. Terdahulu, dalam keputusan kes pendakwaan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan ke atas tertuduh, Mohamed Badruldin Mohamed, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya. Bagi kes meliwat, tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan, manakala bunuh pula, lelaki itu dipenjara selama 30 tahun dan 12 sebatan. Hukuman penjara itu diarah berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 29 April 2021. Tertuduh didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini pada pukul 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021. Berdasarkan fakta kes, sampel DNA dan ekstrak air mani tertuduh ditemui di dubur dan usus besar bayi itu.- malaysiatoday.com.my

  • Air mani di dubur bayi usia 9 bulan, suami pengasuh dijel 30 tahun, 13 sebatan

    Mohamed Badruldin dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan atas tuduhan meliwat dan membunuh anak asuhan isterinya. Gambar fail Sinar Harian SHAH ALAM – Selepas empat tahun didakwa meliwat dan membunuh anak asuhan isterinya yang berusia sembilan bulan, seorang penganggur akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini. Tertuduh Mohamed Badruldin Mohamed, 40, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin. Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara selama 10 tahun dan satu sebatan manakala bagi kesalahan membunuh bayi itu dia dipenjara selama 30 tahun dan dikenakan 12 sebatan. Mahkamah dalam keputusan sama turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021. Berdasarkan fakta kes, terdapat kesan asid deoksiribonukleik (DNA) dan ekstrak air mani milik tertuduh di dubur dan usus besar bayi itu. Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh ketika itu, Dr Rohayu Shahar Adnan juga mengesahkan wujudnya kecederaan akibat objek tumpul pada dubur mangsa. “Punca kematian ialah ‘smothering’ (keadaan yang melemaskan), sampel DNA juga mengesahkan terdapat ekstrak sel sperma milik Orang Kena Tuduh (OKT) pada dubur dan rektum si mati. “Tertuduh didapati melakukan persetubuhan luar tabii. Ada juga luka koyak dan lebam yang boleh disebabkan oleh jari atau zakar, sekali gus mengukuhkan dakwaan penderaan seksual terhadap bayi tersebut,” menurut fakta kes pendakwaan tersebut. Pada hari kejadian, pengasuh, Norhidayah Ab Hamid memberitahu ibu mangsa, Robiatul' Adawiah Aziz bahawa anaknya dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana tidak sedarkan diri. Tertuduh didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang di sini pada pukul 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021. Pada jam 7 malam, sepasukan doktor dan jururawat membuat teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kemudian memasukkan tiub bantuan pernafasan dan empat jenis ubat jantung selain menstabilkan tekanan darah. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.18 tengah hari, 28 April 2021.

  • Hujan lebat: 12 cedera lori Perhutanan masuk gaung

    TAPAH – Sebuah lori milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak terjunam ke dalam gaung selepas dipercayai hilang kawalan akibat hujan lebat yang melanda semalam di negeri tersebut. Rentetan daripada insiden itu, seramai 12 mangsa melibatkan majoriti warga kerja Jabatan Perhutanan Perak dan malim gunung mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut. Insiden itu berlaku apabila pemandu lori jabatan itu tidak dapat mengawal kenderaan sebelum ia terjunam ke dalam gaung setinggi lima meter di Jalan Gunung Batu Putih-Hutan Lipur Kuala Woh di sini pada pukul 2.30 petang semalam. Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya telah mengesahkan kejadian tersebut selepas dihubungi hari ini. "Dalam kejadian itu, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berumur awal 30-an itu dalam perjalanan pulang setelah selesai menjalankan tugas memasang papan tanda sekitar Gunung Batu Putih. “Semasa menuruni jalan berbukit dengan situasi hujan lebat, tayar sebelah kiri lori disyaki telah tergelincir ke sebelah kiri jalan kerana keadaan jalan yang sempit dan licin sebelum hilang kawalan sebelum terbabas, berpusing beberapa kali sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam lima meter. “Kesemua yang terlibat dalam kemalangan ini telah berjaya keluar daripada lori dengan bantuan orang awam dan bomba,” katanya di sini pada Isnin. Tambah beliau, kesemua 12 mangsa yang tercedera dalam insiden tersebut telah dirujuk segera ke Hospital Tapah untuk mendapat rawatan lanjut. "Kita sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya lagi.-malaysiatoday

  • 15 Sungai di KL,Selangor lepasi paras bahaya - Meteorologi

    gambar hiasan KUALA LUMPUR – Kira-kira 15 kawasan sungai di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah direkodkan melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal info banjir hari ini memaklumkan bahawa, pemerhatian setakat pukul 12 tengah hari Isnin mendapati, paras air di Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Langat mencatatkan peningkatan mendadak. Berikut kawasan sungai yang direkodkan melepasi paras bahaya dan waspada: 1. Sungai Gombak (Jalan Tun Razak) 2. Sungai Klang (Jambatan Tun Sambanthan) 3. Sungai Klang (Klang Gate) 4. Sungai Klang (Taman Sri Muda, Klang) 5. Sungai Kerayong (Cheras) 6. Sungai Damansara (TTDI / Seksyen 17 Petaling Jaya) 7. Sungai Batu (Sentul) 8. Sungai Bunus (Danau Kota) 9. Sungai Langat (Hulu Langat) 10. Sungai Langat (Jenderam Hilir) 11. Sungai Semenyih (Semenyih Lama) 12. Sungai Bernam (Hulu Selangor) 13. Sungai Binjai (Meru, Klang) 14. Sungai Rasau (Seksyen 16 Shah Alam) 15. Sungai Kuyoh (Seri Kembangan) Sebelum ini tular di media sosial bunyi siren amaran di sekitar ibu negara menandakan air sungai sudah melepasi paras bahaya. Pengguna jalan raya juga dinasihati agar menggunakan laluan alternatif bagi mengelak insiden banjir kilat di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE).- malaysiatoday

  • MARDI hasilkan tiga variasi bawang baharu

    PETALING JAYA – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan tiga varieti bawang baharu. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tiga varieti bawang baharu yang dihasilkan adalah BAW-1, BAW-2 dan BAW-3. “BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 memang terbukti sesuai dengan iklim dan keadaan tanah di Malaysia. “Hasil penyelidikan ini membuka lembaran baharu dalam usaha negara mengurangkan kebergantungan kepada bawang import,” kata beliau menerusi hantaran di media sosial semalam. Tambah Mohamad dalam perkembangan berkaitan, dengan adanya bawang varieti tempatan itu, sasaran kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang 2030 semakin hampir. Menurut beliau, ia bukan sahaja memperkukuh sekuriti makanan negara, malah memberi peluang pendapatan baharu kepada para petani. “Insya-Allah, langkah ini akan membantu memastikan bekalan bawang lebih stabil dan rakyat dapat menikmati manfaatnya secara langsung,” tegasnya lagi.- malaysiatoday

  • Pekerja Farmasi cedera digigit ular sawa dalam tandas

    SHAH ALAM – Seorang pekerja wanita yang bekerja di sebuah farmasi melalui detik mencemaskan apabila kakinya digigit seekor ular sawa ketika menggunakan tandas di premis perubatan itu yang terletak di Setia Alam di sini dalam insiden pada Ahad. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.46 petang. “Bertindak atas maklumat itu, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong terus digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai untuk tindakan lanjut. "Sejurus tiba di lokasi pada 4.04 petang, pasukan mendapati mangsa seorang wanita berusia 23 tahun, telah digigit ular berkenaan ketika berada di dalam tandas farmasi tersebut. "Anggota bomba berjaya melepaskan gigitan ular sawa itu di kaki mangsa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. Tambah beliau, wanita digigit ular sawa itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan  untuk rawatan selanjutnya. " Manakala, ular sawa sepanjang dua meter itu pula telah dilepaskan di tempat yang selamat," katanya lagi.- malaysiatoday

bottom of page