top of page

Search Results

657 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • Nelayan sekongkol cuba seludup dadah bernilai RM196 juta gagal

    SHAH ALAM - Helah lapuk dan taktik penyeludupan dadah melalui perairan negara terus dibongkar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dengan rekod rampasan barang terlarang itu mencecah RM196 juta sepanjang tempoh 10 tahun, lapor Sinar Harian pada Rabu. Statistik sejak tahun 2015 itu mencatatkan rampasan pelbagai jenis dadah lebih 6,500 kilogram (kg). Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pelbagai modus operandi melibatkan rangkaian sindiket pengedaran dadah di perairan negara telah dikesan. Menurutnya, kebanyakan tangkapan dan rampasan dibuat ialah kes cubaan pengedaran dadah rentas sempadan laut antara Malaysia-Indonesia-Thailand. "Aktiviti pengedaran dadah disyaki dilakukan di sempadan perairan Malaysia bagi mengelak kehadiran penguat kuasa di mana sindiket akan memasuki perairan negara lain apabila menghidu kehadiran penguatkuasa Malaysia. "Selain itu, sindiket didapati menggunakan bot laju fiber atau bot nelayan (kayu) untuk melintasi sempadan perairan. "Mereka (sindiket) juga menggunakan penglibatan nelayan atau komuniti maritim untuk memantau pergerakan atau operasi penguat kuasa," katanya. Beliau berkata, penglibatan kru nelayan warga asing juga digunakan sindiket bagi aktiviti pengedaran dadah. Tambah Mohd Rosli, lorong-lorong tikus yang sukar dikesan juga digunakan sindiket untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah rentas sempadan. Jelas beliau, bagi tempoh 10 bulan tahun ini setakat Oktober, enam kes direkodkan dengan tangkapan dua warga Indonesia membabitkan rampasan dadah mencecah RM25.98 juta. "Antara jenis dadah yang dirampas ialah syabu, yaba, ekstasi, heroin dan ganja," ujarnya.

  • SPRM siasat tohmahan rasuah kaitkan bekas Setiausaha Politik Kanan PM

    KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan segera berhubung tohmahan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan berkenaan iaitu Albert Tei serta individu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut dalam masa terdekat untuk merekodkan keterangan daripada kedua-dua individu tersebut. "SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan. "Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan untuk membantu siasatan kes ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa. Sehubungan itu, Azam meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung isu berkenaan dan memberi ruang kepada agensi terbabit menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan dakwaan itu. Kenyataan Azam Baki hadir selepas Anwar Ibrahim mengesahkan tentang penerimaan surat perletakan jawatan daripada Shamsul Iskandar semalam dan meminta SPRM menyiasat tentang dakwaan yang dikaitkan dengan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu. - malaysiatoday.com.my

  • Anwar terima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan PM Shamsul Iskandar

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Rabu. Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan yang dikaitkan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu. "Saya menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau," kata Perdana Menteri melalui satu kenyataan di sini. Mengulas tentang tuduhan yang timbul, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera tanpa sebarang campur tangan luar. "Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," tambahnya lagi.- malaysiatoday.com.my

  • Suspek serang, cederakan wartawan sukan tersungkur

    KUALA LUMPUR - Suspek penjenayah yang telah diburu polis selepas disyaki menyerang dan mencederakan seorang wartawan kanan sukan portal berita sukan TwentyTwo13 akhirnya tersungkur di tangan polis. Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hock telah mengesahkan tentang tangkapan tersebut. Katanya, suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol itu telah ditahan di Taman Ikan Emas, Cheras di ibu negara di sini kira-kira jam 2 pagi tadi. "Suspek merupakan lelaki lelaki tempatan berusia 37 tahun. "Suspek kini sedang direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan lanjut polis," katanya selepas dihubungi media hari ini. Tambah beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali. Chang Hook semalam mengesahkan polis menerima laporan daripada mangsa yang juga wartawan portal TwentyTwo13 berhubung kejadian itu.

  • Wanita Indonesia dieksploitasi sebagai amah haram diselamatkan

    Wanita Indonesia yang dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah secara haram berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia. Foto Ihsan JIM PUTRAJAYA - Penderitaan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dengan dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah secara haram berakhir apabila mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa. Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, mangsa telah diselamatkan pihaknya menerusi satu serbuan yang dijalankan di sebuah kediaman yang terletak di Batu Caves, Selangor pada 24 November yang lalu. Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat yang diterima daripada sumber yang tidak boleh didedahkan. Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, wanita berkenaan ditemui sedang bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda di premis tersebut. Foto ihsan: Imigresen Malaysia "Siasatan mendapati mangsa bertindak sedemikian atas arahan majikan bagi mengelak dikesan oleh pegawai operasi Jabatan Imigresen. "Mangsa yang berusia 56 tahun itu dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki sebarang Pas yang sah. "Berdasarkan pengakuan awal, mangsa mendakwa dia hanya dijanjikan gaji sebanyak RM600 sebulan, namun tidak menerima sebarang bayaran gaji daripada majikan sejak dua tahun lalu. "Ketika diselamatkan, mangsa berada dalam keadaan trauma akibat sering dimarahi dan pernah dipukul oleh majikannya," katanya dalam kenyataan tersebut tengahari Rabu. Tambah beliau, lebih menyedihkan lagi pihaknya mendapati pasport milik mangsa tidak berada dalam simpanannya sepanjang tempoh bekerja, malahan berdepan sekatan komunikasi apabila tidak dibenarkan memegang telefon bimbit, dilarang menghubungi dan pulang menemui keluarga. Foto Ihsan: Jabatan Imigresen Malaysia Justeru katanya, mangsa turut dipaksa bekerja tanpa waktu rehat hingga terpaksa mencuri masa untuk tidur. "Dalam operasi sama, pasukan Imigresen juga berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 51 tahun yang merupakan majikan mangsa. "Suspek mengaku mendapatkan khidmat mangsa melalui ahli keluarga terdekat. "Operasi menyelamat ini menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0. "JIM telah memulakan siasatan kes ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan memandang serius perkara seumpama ini serta tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan KMJIM_26112025 2 pemerdagangan orang," ujar beliau. Tegasnya lagi, jika disabitkan kesalahan di bawah ATIPSOM 2007, individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun, serta boleh dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan yang lebih berat. Zakaria turut menasihati orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkenaan eksploitasi warga asing supaya tindakan segera dapat diambil dalam usaha membanteras jenayah ini. dengan mengemukakan aduan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel: urusetia_p@imi.gov.my . - malaysiatoday.com.my

  • Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik PM

    KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengumumkan peletakan jawatannya pada Selasa. Menerusi perkongsian di platform X, Shamsul berkata, surat perletakan jawatannyasudah diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebelah pagi untuk tindakan sejawarnya. Shamsul mengambil keputusan terbabit enam hari selepas Anwar membuat teguran tegas kepada setiausaha politiknya itu kerana mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024. Shamsul Iskandar berkata, keputusan itu diambil susulan wujud percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh menjejaskan imej kerajaan MADANI. "Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini. "Saya mengucapkan terima kasih kepada PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya," katanya dalam hantaran di platform X, petang Selasa.

  • PN desak SPRM siasat rasuah lebih RM600,000 kaitkan Shamsul

    PUTRAJAYA - Perikatan Nasional selaku blok pembangkang mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan menyeluruh dengan kadar segera erhadap dakwaan rasuah lebih RM600,000 yang mengaitkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pada Rabu sambil melontarkan desakan itu berkata, siasatan itu perlu dijalankan secara bebas selepas dakwaan pegawai kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri dikaitkan dalam skandal tersebut. "Saya mendesak agar SPRM segera melakukan siasatan berhubung dakwaan rasuah ini. "Jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang," katanya dalam kenyataan tersebut di sini. Tambah Takiyuddin lagi, ahli Parlimen PN memandang serius pendedahan seorang ahli perniagaan kononnya beliau telah memberikan sebanyak lebih dari RM600,000 kepada Shamsul yang mana merupakan individu sama dikaitkan dengan skandal perlombongan mineral di Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini. Jelasnya, ahli Parlimen PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut. "Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih," tegasnya lagi. Sebelum ini, media melaporkan bahawa ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei mendakwa, dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah. Dakwa Albert Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit untuk menguatkan dakwaannya. Antara lain, Albert Tei mendakwa membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah iaitu satu di Bangsar, Kuala Lumpur serta kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.

  • Pelancong bawa balik 14 kg batu kerikil unik dipulangkan selepas 10 tahun

    Bawa balik 14 kg batu kerikil kerana unik, pulang semula selepas 10 tahun HANOI – Seorang pelancong yang mengambil 14 kilogram batu kerikil dari Pulau Co To, Vietnam sejak sedekad lalu memulangkannya semula bersama sepucuk surat permohonan maaf. Jabatan Kebudayaan dan Maklumat Co To memaklumkan, bungkusan itu diterima pada 17 November lalu dan turut mengandungi sumbangan 100,000 dong (lebih kurang RM15.68). Pelancong berkenaan, Vu Nguyen mengambil batu berkenaan dari Pantai Mong Rong antara tahun 2015 hingga 2018 kerana tertarik dengan keindahan dan keunikannya. Nguyen nekad menghantar semula semua batu tersebut selepas mengetahui kepentingan pemuliharaan marin. "Saya telah menjejaskan keindahan asli pulau ini. Saya memohon maaf dan berharap batu-batu ini dapat dikembalikan ke lokasi asalnya," katanya dalam surat berkenaan. Menurut VnExpress, tindakan itu merupakan kes pertama dilaporkan dalam tempoh beberapa tahun. Ketua Jabatan Kebudayaan dan Maklumat Co To, Nguyen Hai Linh menyifatkan, langkah itu sebagai contoh terbaik pelancongan bertanggungjawab. "Saya berharap ia dapat meningkatkan kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar," katanya. Pihak berkuasa turut mengingatkan pelancong supaya tidak membawa pulang batu, karang atau hidupan marin sebagai cenderahati kerana boleh menjejaskan ekosistem pantai.- Agensi

  • Cinta tiga segi: Lelaki tembak mati kawan rapat demi perempuan

    Cinta tiga segi: Lelaki tembak mati kawan rapat kerana perempuan UTTAR PRADESH - Bahana cinta tiga segi, seorang lelaki sanggup membunuh rakan sejati sendiri demi seorang wanita yang dicintainya. Insiden yang berlaku di kawasan Adarsh Nagar yang terletak di bandaraya Aligarh itu telah mencetuskan panik dan kejutan dalam kalangan penduduk tempatan kata polis tempatan pada Selasa. Siasatan awal polis mendedahkan bahawa kedua-dua suspek dan mangsa jatuh cinta pada wanita yang sama dan berlaku pergelutan sesama mereka yang berakhir dengan tragedi. Identiti suspek yang dikenalpasti sebagai Bablu dan rakannya Aryan Pandit dipercayai bercinta wanita yang sama yang kemudian membawa kepada insiden pembunuhan tersebut. Saksi kejadian berkata, tiga lelaki dilihat berbual berhampiran motosikal sebelum dua lagi lelaki tidak dikenali tiba ke lokasi menaiki motosikal. "Bablu menampar Aryan sebelum menembaknya dari jarak dekat dan meloloskan diri dari lokasi kejadian tersebut. "Polis yang kebetulan terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah bergegas laju ke lokasi insiden tersebut," kata saksi tersebut. Polis kemudian membawa mangsa tembak ke hospital Kolej Perubatan JN berhampiran untuk rawatan segera namun Aryan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan. Polis dan forensik telah mengumpul bukti di lokasi tembak dan memulakan siasatan lanjut selepas membuka Laporan maklumat pertama (FIR). "Kita akan melakukan siasatan berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi untuk tindakan lanjut mengesan serta menjejaki suspek," kata seorang pegawai kanan polis Uttar Pradesh.- Indiatoday

  • Bayar RM135 dan buru hantu dalam penjara paling seram

    LONDON – Sebuah bekas penjara di Somerset, Britain menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menyertai lawatan memburu hantu di dalam bangunan tersebut pada harga kurang daripada £25 (RM135) seorang, lapor laman berita Devon Live. Penjara Shepton Mallet yang wujud sejak abad ke-17 berfungsi sebagai pusat pemulihan selama hampir 400 tahun dan kini dikenali sebagai salah satu penjara paling berhantu di dunia. Ia kini menawarkan orang awam sesi lawatan memburu hantu sepanjang tahun di mana pengunjung boleh menyelami kisah bangunan yang penuh dengan kisah seram dan misteri. Dipimpin oleh pemandu pelancong yang berpengetahuan, pengunjung akan menyelami dunia roh yang penuh kisah hantu, menikmati kesunyian aneh dan menyeramkan yang memenuhi kawasan tersebut. Pengunjung juga akan diberitahu mengenai sisi kejam kehidupan penjara termasuk penyeksaan, pembunuhan dan hukuman gantung. Selain itu, pengunjung boleh meneroka kubur tanpa tanda serta berlegar-legar di C Wing iaitu bekas sayap penjara wanita. Ia dikhabarkan sebagai salah satu lokasi paling berhantu di dalam penjara tersebut. Lawatan tersebut mengambil masa sekitar 90 minit untuk pengunjung menikmati pengalaman menyeluruh. – Agensi

  • ACLE: JDT akur dengan kehebatan Melbourne City

    PETALING JAYA – Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meneruskan momentum cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berkecai selepas tewas 0-2 kepada Melbourne City, sebentar tadi. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rectangular itu, skuad Harimau Selatan hadir dengan rekod cemerlang selepas berjaya menang dua aksi ACLE bertemu dua kelab China sebelum ini. JDT yang dikendalikan oleh Xisco Munoz terkejut dengan asakan awal tuan rumah apabila dibolosi hasil tandukan Max Caputo menerusi situasi sepakan penjuru seawal minit ketiga. Tersentak dengan gol tersebut, JDT memperkemaskan jentera serangan dengan gandingan Bergson da Silva dan Jairo da Silva cuba untuk menembus benteng pertahanan lawan. Namun, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu gagal membolisi kubu lawan apabila setiap asakan yang dibuat mudah dipatahkan tuan rumah. Ketika JDT giat mengasak, Melbourne berjaya menggandakan kelebihan menerusi penyudah berbisa Medin Memeti pada masa kecederaan sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua JDT dalam kempen ACLE musim ini. Selepas ini, JDT akan mengalihkan tumpuan untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Kuching City di laman sendiri, Sabtu ini.

  • Lelaki tular bersilat di tanah perkuburan ditahan, positif dadah

    KLUANG - Seorang lelaki yang dipercayai melakukan aksi silat sambil memakai topi keledar di Tanah Perkuburan Kampung Melayu di sini, akhirnya berjaya diberkas polis. Video individu berkenaan melakukan aksi silat telah tular di media sosial sehingga menjadi topik hangat awam. Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, susulan tular video berkenaan sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Lalang berjaya menahan lelaki berkenaan pada kira-kira jam 1 tengah hari pada Isnin. “Suspek berusia 31 tahun itu ditangkap di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang. "Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine. "Suspek kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini. Tambah beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. "Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya. Terdahulu, video berdurasi 27 saat itu yang menunjukkan aksi silat lelaki itu telah dirakam pengguna jalan raya sebelum dimuat naik ke laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi awam. Pada Ahad, Pejabat Kadi Daerah Kluang dalam kenyataannya memaklumkan tiada sebarang unsur pemujaan atau ritual bercanggah syarak di kawasan tanah perkuburan tersebut.

bottom of page