top of page

Search Results

657 hasil ditemukan dengan carian kosong

  • SJKT Ladang Rinching johan Piala YB Onn Abu Bakar Parlimen Batu Pahat

    KAJANG - Pasukan Bola Sepak Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Rinching mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara Kejohanan Bola Sepak bawah 12 tahun Piala YB Onn Abu Bakar Parlimen Batu Pahat Peringkat Kebangsaan 2025 pada kali ini. Ia merupakan julung kali sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan muncul sebagai satu-satunya sekolah Tamil menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan yang berlangsung kali ini di Sekolah Kebangsaan Temenggong Ibrahim Penggaram pada 22 November lalu. Pasukan SJKT Ladang Rinching telah dilatih oleh bekas pemain kebangsaan dan Selangor K.Gurusamy dan P.Nanthakumar untuk turun mengasak bakat murid-murid sekolah dalam kejohanan tersebut. Walaupun ia merupakan penyertaan julung kali, pasukan SJKT Ladang Rinching telah mempamerkan aksi terbaik atas padang apabila menewaskan pasukan tuan rumah iaitu SK Temenggong Ibrahim Penggaram dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan akhir sebelum menjulang Piala sebagai johan pertandingan bola sepak tersebut. Malahan, pasukan SJKT Ladang Rinching juga berjaya memenangi hadiah sapu bersih hadiah dua kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan kali ini iaitu penjaring terbanyak menjadi milik Piravin Udayakumar dan Kavin Thiagu pula muncul sebagai penjaga gol terbaik kejohanan tersebut.

  • Cederakan wartawan sukan: Suspek mungkin salah orang - Polis

    KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan suspek yang ditahan kerana menyerang dan mencederakan wartawan sukan, Haresh Deol telah tersalah sasaran. Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal pihaknya mendapati serangan terhadap individu terbabit dipercayai berunsur peribadi akibat gangguan terhadap isteri suspek tersebut. “Ia (motif) seperti ada gangguan terhadap isteri dia (suspek) jadi lebih kepada peribadi namun nampak macam salah sasaran pun ada kerana dia mahu pukul yang kacau isterinya tetapi salah orang. “Bagaimanapun, semua ini kita bandingkan dengan semua keterangan dan siasatan masih dijalankan,” katanya pada sidang media di ibu negara Khamis. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH di sini. Tambah Fadil lagi, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes tersebut untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi arahan tindakan lanjut. “Tangkapan setakat ini membabitkan seorang individu yang kini direman. Namun kita akan angkat kepada AGC dan kemukakan cadangan untuk menuduh suspek,” tegasnya. - malaysiatoday.com.my

  • Imigresen tawar ganti pasport percuma kepada mangsa banjir

    Imigresen tawar ganti pasport percuma kepada mangsa banjir PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara percuma kepada mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen akibat bencana banjir yang sedang dihadapi di seluruh negara. Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan mereka yang terjejas serta memastikan keperluan perjalanan dan urusan rasmi dapat diteruskan tanpa sebarang halangan. "Mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan dengan mereka. "Syarat bagi penggantian pasport percuma ini mereka perlu memastikan pasport masih sah dan tidak kurang dari enam bulan, membawa kad pengenalan dan pasport asal sekiranya masih ada. "Mangsa banjir juga dikehendaki menyerahkan salinan laporan polis (bagi kehilangan PMA) dan menyerahkan laporan pengesahan bencana banjir daripada Jabatan Bomba atau Pihak Berkuasa Tempatan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis. Tambah beliau, untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh hadir ke Pejabat Imigresen berhampiran bagi mendapatkan maklumat dan bantuan selanjutnya. Katanya lagi, JIM kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan. "Diharapkan inisiatif ini dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir dan membantu mereka kembali mengurus kehidupan harian dengan lebih mudah dan teratur," tegas beliau.- malaysiatoday.com.my

  • PN Persoal kewibawaan SPRM Siasat Dakwaan Rasuah Libatkan Shamsul Iskandar

    Takiyuddin dalam sidang media bersama ahli-ahli Parlimen PN di Dewan Rakyat pada Khamis KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, persoalan itu timbul selepas pihaknya mendapati nama SPRM juga disebut terlibat dalam kes tersebut. “Kami telah mengeluarkan kenyataan media yang jelas sebelum ini (apabila dakwaan kes rasuah timbul) dan pada masa itu gesaan kita supaya siasatan yang terperinci perlu dijalankan oleh agensi-agensi penguat kuasa seperti SPRM dan sebagainya. “Tetapi bila timbul pula dakwaan terkini sama ada tepat atau tidak kami tak pasti iaitu (mengenai) penglibatan SPRM sendiri di belakang ‘wayang’ yang berlaku ini. "Jadi kewibawaan dan kredibiliti SPRM untuk menjadi pihak penyiasat pun dipersoalkan,” katanya pada sidang media berkaitan isu itu di Dewan Rakyat pada Khamis. Terdahulu, media melaporkan Pas berpendapat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak lagi wajar terlibat dalam siasatan berhubung dakwaan kes rasuah yang didedahkan ahli perniagaan, Albert Tei. Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, hal itu kerana nama pemimpin tertinggi agensi antirasuah tersebut disebut dalam klip video terbaru yang dimuat naik pada Rabu.

  • 'Siasat Anwar dan Azam Baki jika video itu tulen' - Hassan Karim

    SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak supaya menyiasat rakaman video yang didedahkan oleh ahli perniagaan bernama Albert Tei yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya SPRM Tan Sri Azam Baki, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin. Memetik laporan portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bagaimanapun berpendapat bahawa di sisi undang-undang ketika ini, ia masih dianggap sebagai khabar angin. “Bagaimanapun, SPRM mesti menyiasat video tersebut seperti didakwa Albert Tei. Jika ia tulen, maka Azam mesti disiasat. “Untuk mengelakkan persepsi konflik berkepentingan, Azam perlu menarik diri daripada sebarang peranan dalam siasatan ini,” katanya veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu lagi pada Khamis. Pada Rabu, tular video seorang wanita dengan wajah dikaburkan yang mendakwa Shamsul Iskandar bertemu dengan Azam untuk menyelesaikan kes melibatkan Albert. Dalam perbualan sama, apabila Albert bertanya sama ada Shamsul Iskandar memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu adalah 'arahan PM' (Anwar), wanita itu menjawab bahawa 'Azam tahu'. Wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong kemudian muncul dalam video lain yang menafikan beliau sebagai proksi Shamsul Iskandar, selain berkata tidak pernah berjumpa atau berbincang dengan Anwar berhubung dakwaan Albert itu. SPRM memaklumkan pihaknya akan memanggil Shamsul Iskandar dan Albert untuk dirakam keterangan membantu siasatan lanjut berhubung 'tohmahan' rasuah tersebut. Sementara itu, Hassan turut berpendapat sekiranya video tersebut benar dan tulen, bukan sahaja Azam perlu disiasat, tetapi juga Anwar. “Tiada kekebalan tersedia buat mana-mana Perdana Menteri daripada siasatan yang melibatkan sebarang bentuk kesalahan jenayah terutamanya rasuah dan salah guna kuasa,” ujar beliau. - malaysiatoday.com.my

  • Gempa bumi 6.5 skala Richter landa Pantai Barat Sumatera Utara, gegaran dirasai di Malaysia

    SHAH ALAM - Gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 skala Richter dilaporkan berlaku di luar pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada jam 12.56 tengah hari pada Khamis. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa, pusat gempa bumi itu dikesan di 2.7 darjah utara dan 95.9 darjah timur pada kedalaman 57 kilometer dengan jarak 8 kilometer selatan dari Simeulue, Indonesia. Susulan gempa itu, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. "Gegaran dirasai di sekitar negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia," katanya menerusi laman web met.gov.my .

  • Ketua sindiket jenayah seks dalam talian dipenjara seumur hidup

    SEOUL - Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap ketua sindiket jenayah seks melalui Telegram kerana mengeksploitasi secara seksual 261 individu, termasuk kanak-kanak bawah umur, selama hampir lima tahun, lapor Agensi Berita Yonhap. Kim Nok-wan, 33, didakwa mengendalikan dan bekerja untuk sindiket jenayah yang dikenali sebagai "The Vigilantes”, menghasilkan dan mengedar video eksploitasi seksual, memaksa penggunaan video yang dihasilkan secara haram serta melakukan kuasi rogol. Selain hukuman penjara, Mahkamah Daerah Pusat Seoul turut mengarahkan maklumat peribadi Kim disiarkan dalam rangkaian digital selama 10 tahun, sekatan pekerjaan selama 10 tahun dan pemakaian peranti elektronik selama 30 tahun. Kim menjalankan sindiket berkenaan dari Mei 2020 hingga Januari 2025 dan menyerang secara seksual kanak-kanak serta remaja sambil memperkenalkan dirinya sebagai seorang pastor. Ahli The Vigilantes turut memeras ugut lelaki dan wanita agar menghantar foto bogel mereka dan menggunakan gambar itu untuk menghasilkan serta mengedar video eksploitasi seksual. Jumlah mangsa adalah lebih tiga kali ganda berbanding kes Baksabang yang terkenal pada 2019-2020 membabitkan pesalah dikenali Cho Joo-bin yang memeras ugut 73 individu untuk menghasilkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dan remaja yang dijualnya secara dalam talian melalui bilik sembang Telegram yang disulitkan. - Bernama

  • Lelaki ditahan beri gangguan seksual terhadap tiga gadis remaja MRSM

    HULU SELANGOR – Seorang lelaki berjaya diberkas polis selepas disyaki bertanggungjawab melakukan jenayah gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan di sebuah asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan polis daripada mangsa pada jam 4.16 petang Rabu. "Siasatan awal polis mendapati suspek seorang warga tempatan dipercayai masuk ke dalam asrama berkenaan. "Suspek kemudian menyentuh ketiga-tiga remaja berusia 16 tahun ketika mereka sedang tidur di katil masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Tambah Ibrahim, semakan lanjut juga mendapati suspek berusia 48 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. "Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini bagi permohonan reman. " "Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika disabitkan kesalahan," tegasnya lagi. - malaysiatoday.com.my

  • PRN Sabah: Tiada parti akan dapat majoriti, jangka kerajaan campuran - Zahid

    KOTA KINABALU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan tiada mana-mana parti bertanding yang akan memperolehi majoriti jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu ini. Beliau meramalkan, berkemungkinan keputusan itu akan membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran di negeri di bawah bayu itu pada kali ini. Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menambah bahawa berdasarkan "bacaannya", persaingan banyak parti di kebanyakan kerusi menunjukkan tiada gabungan yang mampu muncul dominan, sekali gus memerlukan kerjasama politik bagi memastikan kestabilan Sabah. "Bacaan saya pada 29 hari bulan nanti, kita tahu tidak akan ada satu parti pun yang dominan di Sabah, bacaan saya akan ada kerajaan campuran sekali lagi di Sabah. "Kita mahu melihat bahawa kestabilan politik di Sabah ini diberi keutamaan. Kita mahu (projek lebuh raya) Pan Borneo Sabah diselesaikan dalam tempoh lima tahun, kita mahu masalah tiga serangkai diselesaikan, iaitu infrastruktur, bekalan elektrik dan juga air … rakyat Sabah layak untuk mendapat jalan raya yang baik, air bersih yang baik dan elektrik yang baik supaya boleh hidup dengan aman,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Kaum India Sabah di Inanam hari ini. Tambah Ahmad Zahid, walaupun PRN kali ini menyaksikan pertembungan hingga 14 penjuru di beberapa kawasan, proses itu mencerminkan festival demokrasi yang menjadi keunikan Sabah. Jelasnya lagi, nilai toleransi kaum dan agama sebagai antara kekuatan utama masyarakat Sabah, malah menyifatkan kadar penerimaan sosial di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung. - malaysiatoday.com.my

  • Dua Pemimpin Tertinggi Pengakap Negara Terima Anugerah Tertinggi Pengakap India

    Mohd.Zin (tengah) bersama Dr. Mukhyuddin (kiri) dan Chempaka Emalin di Rajbavan Uttar Pradesh, India selepas menerima anugerah tertinggi hari ini. KUALA LUMPUR 27 Nov. — Peranan Persekutuan Pengakap Malaysia dalam membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri generasi muda terus di pentas dunia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa. Terbaharu, dua pemimpin tertinggi Pengakap Malaysia telah menerima penghormatan di India apabila menerima anugerah tertinggi Bharat Scouts & Guides (BSG) India pada majlis istiadat rasmi yang diadakan di bandar Lucknow, Uttar Pradesh, India. Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd Zin bin Bidin dan Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr Mohammed Mukhyuddin bin Sarwani, masing-masing telah menerima anugerah Silver Elephant Award. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi BSG kepada pemimpin dewasa atas sumbangan besar mereka dalam memperkukuh pergerakan Pengakap di pentas antarabangsa. Majlis penganugerahan itu berlangsung dengan penuh istiadat di Istana rasmi Gabenor Uttar Pradesh di Raj Bhavan, Lucknow dan disempurnakan oleh Gabenor Uttar Pradesh, Smt. Anandiben Patel sendiri bersempena Grand Finale Diamond Jubilee Celebrations dan 19th National Jamboree BSG. Mohd Zin bersama anugerah yang diterima dari BSG India dalam satu istiadat di Raj Bhavan, Uttar Pradesh bersempena Jambori Kebangsaan ke-19 India. Turut menerima anugerah tertinggi terbabit ialah Pengerusi, Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik The World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) 2022-2025, Chempaka Emalin binti Pahamin. Dalam pada itu, Mohd Zin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BSG India atas pengiktirafan yang diberikan sekali gus mencerminkan penghargaan antarabangsa terhadap sumbangan dan peranan Pengakap Malaysia dalam membentuk generasi muda yang berdedikasi, berakhlak mulia, dan berwawasan global. “Anugerah ini bukan hanya untuk kami berdua, tetapi untuk seluruh keluarga Pengakap Malaysia. "Ia menjadi bukti jelas bahawa usaha, dedikasi, dan komitmen kita dalam memperkukuh kepimpinan belia, kemahiran hidup, dan khidmat masyarakat telah diiktiraf di peringkat dunia,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa pengiktirafan ini akan terus menjadi dorongan bagi memperkukuh peranan Pengakap Malaysia dalam membina masyarakat yang berdaya saing, prihatin, dan bersatu padu, selaras dengan misi global World Organisation of Scout Movement (WOSM). - malaysiatoday.com.my

  • Pangsapuri Hong Kong terbakar: 44 maut, 3 diberkas polis

    HONG KONG: Kebakaran besar yang masih marak di sebuah kompleks pangsapuri penduduk di Hong Kong telah mengorbankan sekurang-kurangnya 44 orang dan hampir 300 orang lagi masih dikhuatiri hilang. Api dipercayai merebak pantas akibat penggunaan perancah buluh yang tidak selamat serta bahan pelapik yang digunakan dalam kerja penyelenggaraan, menurut polis. Anggota bomba dan penyelamat yang sedang bertugas sepanjang malam bergelut untuk mencapai tingkat atas kompleks perumahan Wang Fuk Court berikutan bahang melampau dan asap tebal dari kebakaran yang tercetus petang semalam. Kompleks di daerah Tai Po, utara Hong Kong itu mempunyai 2,000 unit pangsapuri merangkumi lapan blok. Menjelang awal pagi ini, pihak berkuasa memaklumkan kebakaran di empat blok berjaya dikawal, manakala operasi memadamkan api masih diteruskan di tiga blok lain selepas lebih 15 jam. Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan api masih marak dari sekurang-kurangnya dua menara setinggi 32 tingkat, dengan asap tebal berkepul keluar dari beberapa bahagian bangunan. Jaring keselamatan hijau dan perancah buluh yang digunakan pada bangunan berkenaan adalah sebahagian daripada amalan pembinaan tradisional China, namun penggunaannya sedang dihentikan di Hong Kong sejak Mac lalu atas faktor keselamatan. Polis berkata, selain bangunan diselubungi jaring perlindungan dan plastik yang mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran, beberapa tingkap pada sebuah bangunan yang tidak terjejas didapati ditutup dengan bahan pelapik yang dipasang syarikat pembinaan bagi menjalankan kerja penyelenggaraan. "Kami mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa pihak bertanggungjawab dalam syarikat itu cuai secara serius, sehingga membawa kepada kemalangan ini. Agensi

  • Jam poket emas pasangan Titanic terjual pada harga £1.78 juta

    LONDON - Sebuah jam poket emas milik pasangan warga emas yang lemas ketika tragedi tenggelamnya Titanic berjaya dijual pada harga £1.78 juta (AS$2.3 juta) dalam satu acara lelongan, lapor PA Media/dpa. Jurulelong berkata, harga itu merupakan jumlah tertinggi pernah dibayar bagi "memorabilia Titanic". Rekod sebelum ini dicatatkan tahun lalu apabila sebuah lagi jam poket emas yang dihadiahkan kepada kapten bot yang menyelamatkan lebih 700 penumpang terjual pada harga £1.56 juta. Jam 18 karat buatan Jules Jurgensen itu dimiliki penumpang kelas pertama Isidor Straus, yang lemas ketika Titanic karam pada April 1912 sehingga meragut 1,500 nyawa. Beliau dan isterinya, Ida, turut digambarkan dalam filem blockbuster Titanic arahan James Cameron pada 1997 sebagai pasangan yang saling berpelukan ketika kapal itu karam. Jam itu ditemukan bersama beberapa barangan peribadi lain pada tubuh Straus dan kemudiannya dipulangkan kepada keluarganya. Beliau menerima jam itu sebagai hadiah hari lahir ke-43 pada 1888, iaitu tahun yang sama beliau menjadi rakan kongsi di gedung beli-belah Macy’s di New York. Jam berkenaan, yang kekal dalam simpanan keluarga Straus selama lebih seabad, dilelong oleh Henry Aldridge & Son Auctioneers di Devizes, Wiltshire. Sepucuk surat tulisan tangan oleh Ida di atas kertas rasmi Titanic dan dipos ketika berada di atas kapal terjual pada harga £100,000. Senarai penumpang Titanic pula dibeli dengan harga £104,000 manakala pingat emas yang dianugerahkan kepada kru RMS Carpathia oleh mangsa terselamat terjual pada £86,000. - Agensi

bottom of page