

Search Results
657 hasil ditemukan dengan carian kosong
- Tipu guna gelaran 'Datuk' palsu, dua lelaki dicekup
KUALA LUMPUR - Tindakan licik dua lelaki yang menipu mangsa menggunakan gelaran 'Datuk' palsu bagi memperdaya individu menunjukkan pelbagai barang istiadat diraja bagaimanapun kantoi kepada pihak berkuasa. Kedua-dua suspek lelaki itu berjaya diberkas polis di Seremban, Negeri Sembilan dalam serbuan pada Selasa. Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 34 dan 50 tahun itu ditahan di sebuah restoran di daerah tersebut. "Siasatan awal mendapati, suspek disyaki menipu mangsa secara bersemuka dengan menujukkan pelbagai barang berkaitan adat istiadat dan kebesaran diraja dengan menggunakan gelaran Datuk secara palsu. " Tangkapan suspek turut membawa kepada rampasan empat buah telefon bimbit, dua keping kad pengeluaran wang automatik (ATM), dua buah kenderaan, kad istana, cop rasmi istana, sijil pertubuhan, lambang adat dan istiadat serta kelengkapan pakaian istiadat dan kebesaran yang disyaki digunakan bagi tujuan kegiatan penipuan ini," katanya dalam kenyataan di sini. Tambah beliau, kedua-dua suspek itu kini direman selama empat hari bermula pada Rabu hingga 29 November depan untuk membantu siasatan lanjut polis. "Polis sedang mengendalikan siasatan kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu. "Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan juga denda," tegasnya lagi.- malaysiatoday.com.my
- Tempoh jamin Namwee disambung 14 hari, polis tunggu laporan toksikologi, hasil autopsi
PETALING JAYA – Tempoh jaminan terhadap penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee@Namwee telah dilanjutkan lagi selama 14 hari lagi dalam perkembangan siasatan melibatkan kes kematian pempengaruh wanita Taiwan yang disyaki dibunuh pada Oktober yang lepas di ibu sebuah hotel di ibu negara. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata sambungan jaminan itu dibuat pada pukul 4 petang Rabu. "Oleh itu, tempoh jaminan polis terhadap Namwee dilanjutkan dari Khamis hingga 10 Disember depan. “Pihak polis masih menunggu laporan toksikologi dan laporan bedah siasat (post mortem) mangsa untuk tindakan lanjut dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini. Sebelum ini media melaporkan bahawa Namewee direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan, sebelum reman itu dilanjutkan lagi selama tiga hari lagi. Terdahulu, Namewee, 42, tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 November lalu untuk membantu siasatan selepas polis mengklasifikasikan semula kematian wanita Taiwan itu sebagai kes bunuh. Namwee dikatakan orang terakhr berada di lokasi bilik wanita Taiwan itu semasa kejadian berlaku.
- Medan selera pangsapuri digempur JIM, 113 PATI dicekup
PETALING JAYA – Taktik beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba meloloskan diri dan bersembunyi daripada dicekup pihak berkuasa gagal apabila mereka tumpas di tangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua operasi penguatkuasaan tergempar yang dijalankan berasingan sekitar Selangor sejak semalam. Menurut JIM, operasi pertama dilaksanakan di sebuah medan selera pusat membeli-belah yang terletak di Sepang kira-kira pukul 11.45 pagi susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. “Seramai 47 pegawai diatur gerak ke lokasi berkenaan dan pemeriksaan dijalankan ke atas seramai 127 individu yang terdiri daripada 92 warga asing dan 35 warga tempatan. “Hasilnya, seramai 17 warga asing yang terdiri daripada enam warga Myanmar, enam warga Indonesia, tiga warga Bangladesh dan dua warga China berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini. Imigresen turut menambah bahawa, operasi penguatkuasaan kedua dijalankan di lima blok pangsapuri di Klang pada 12.05 tengah malam tadi melibatkan seramai 91 pegawai Imigresen. Katanya, dalam serbuan itu seramai 861 individu telah diperiksa terdiri daripada 707 warganegara asing dan 154 warga tempatan. “Hasil pemeriksaan, seramai 96 warga asing membabitkan 38 warga Pakistan, 33 warga Myanmar, lapan warga Bangladesh, 11 warga Indonesia, empat warga India serta dua warga Nepal berumur antara 18 hingga 55 tahun berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen. "Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “Sebanyak tiga borang saman dikeluarkan kepada tiga warga tempatan yang bekerja di medan selera pusat membeli-belah berkenaan untuk hadir sebagai saksi. “Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium untuk siasatan dan tindakan lanjut. "JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini. “Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” tegas beliau.
- SPRM minta wanita dalam klip video Albert Tei tampil beri keterangan
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video melibatkan perbualan bersama ahli perniagaan Albert Tei yang tersebar pada hari ini supaya hadir ke Pejabat SPRM untuk memberi keterangan membantu siasatan kes tersebut. SPRM berkata, kehadiran wanita itu amat penting bagi membantu siasatan kes itu melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. "SPRM kini sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan meminta agar individu ini dapat hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember 2025. "Selain itu, SPRM juga telah menghubungi Albert dan meminta individu ini hadir ke Pejabat SPRM pada tarikh yang sama,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini. SPRM dalam perkara sama turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan dan memberi ruang kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh. - malaysiatoday.com.my
- Bot karam: 19 mangsa ditemui, seorang meninggal dunia
LANGKAWI – Seramai 19 kru yang dikhuatiri hilang selepas bot pancing yang dinaiki mereka dilaporkan karam semalam di Perairan Timur Laut Pulau Perak pada malam Rabu akhirnya berjaya ditemui semula. Pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) yang digerakkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Taman Laut susulan insiden itu mendapati seramai 18 mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Namun, seorang daripada kru berkenaan disahkan telah meninggal dunia dalam insiden karam tersebut. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua mangsa dikesan oleh kapal KD Ledang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diberikan rawatan awal. “KD Ledang tiba di Jeti TLDM MAWILA 3 sekitar jam 6 pagi Khamis dan kesemua mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada pagi Khamis. Menurut beliau, mayat seorang lelaki turut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Selesai pemeriksaan, 18 mangsa yang selamat diserahkan kepada Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia bagi urusan susulan. “Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan bersyukur kerana 18 mangsa lain berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas serta koordinasi yang sangat baik antara semua agensi,” tegasnya lagi. - malaysiatoday.com.my
- Bot pancing karam, lebih 8 kru dikhuatiri hilang
GAMBAR HIASAN ALOR SETAR - Sekurang-kurangnya lapan orang dikhuatiri hilang selepas sebuah bot pancing dilaporkan karam dalam kejadian yang berlaku di perairan Timur Laut Pulau Perak, dekat Yan di sini pada Rabu. Rentetan daripada maklumat itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat kru bot pancing itu yang masih berstatus hilang dalam kejadian tersebut. Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, insiden itu dilaporkan oleh tekong bot pada jam 10.45 pagi selepas seorang kru bot terbabit memaklumkan kepadanya bot berkenaan hampir karam ketika berada di kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari timur laut Pulau Perak. "Susulan daripada laporan itu, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan segera pada pukul 11 pagi dan segala aset APMM, KM Siangin telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan penilaian awal serta memberikan bantuan segera. "Berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, dianggarkan lebih lapan kru berada di atas bot berkenaan semasa insiden karam dan identiti kesemua kru berkenaan sedang disahkan,” katanya dalam kenyataan di sini. Tambah beliau, keadaan cuaca pada waktu kejadian juga dilaporkan agak buruk dengan angin bertiup dari arah timur laut pada kelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam (km/j) manakala ketinggian ombak dianggarkan antara 1.5 hingga 2.5 meter. Katanya lagi, beberapa kawasan perairan turut mengalami ribut petir, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan kru dan operasi menyelamat yang sedang dijalankan. "Bagi memperkukuh tindakan operasi di lapangan, aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Ledang turut digerakkan ke kawasan kejadian tersebut. "Usaha menyelamat kini dilaksanakan secara bersepadu oleh kedua-dua agensi keselamatan itu manakala kapal kargo MAERSK SONGKHLA yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang turut membantu operasi mencari dan menyelamat itu. "Perkembangan lanjut mengenai status kru, keadaan semasa di lokasi dan maklumat tambahan lain berkaitan operasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," tegas beliau lagi. - malaysiatoday.com.my
- MyKad baharu serba canggih dengan kod QR bakal diperkenal Jun 2026
KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal memperkenalkan kad pengenalan atau MyKad generasi baharu yang serba moden dan canggih berkuatkuasa 1 Jun 2026 nanti. Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir memuktamadkan perolehan kad pengenalan struktur baharu bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada yang dikeluarkan kepada rakyat sejak tahun 2012. Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggantian kad pengenalan berstruktur baharu ini akan memastikan kad pengenalan yang dikeluarkan JPN mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, selamat dan dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini. "Kad pengenalan baharu ini juga bagi membendung sebarang insiden dan percubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan kad pengenalan yang merupakan dokumen penting bagi rakyat Malaysia. "MyKad generasi baharu ini diperbuat daripada bahan policarbonat serta dilengkapi cip keselamatan berkapasiti storan lebih besar dengan piawaian keselamatan dan penyulitan dipertingkatkan bertujuan membendung pemalsuan kad pengenalan da kebocoran data. "Malah, reka bentuk kad pengenalan generasi baharu ini akan tampil lebih moden dengan elemen torehan laser dan hologram lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan ciri keselamatan yang tinggi," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini. Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sesi pertanyaan Lisan daripada Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib yang meminta KDN menyatakan tentang status terkini berkenaan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada. Tambah Shamsul Anuar lagi, KDN melalui JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan kad pengenalan generasi baharu itu memenuhi prinsip nilai faedah terbaik untuk memastikan kos pengeluaran tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber secara optimum. Dalam perkembangan sama, Shamsul Anuar turut menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengenai jumlah kes pemalsuan kad pengenalan yang direkodkan oleh JPN. Katanya, sepanjang tahun 2022 hingga 31 Oktober 2024, sebanyak 2,103 operasi dan penguatkuasaan dilakukan di seluruh negara melibatkan 1,606 operasi penguatkuasaan oleh JPN dan 497 operasi bersepadu bersama agensi pihak berkuasa. "Hasil daripada operasi terbabit katanya, JPN telah berjaya menahan seramai 519 individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. "Daripada jumlah tersebut, seramai 190 individu didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (e) iaitu 130 orang melibatkan kad pengenalan palsu dan 60 individu melibatkan kesalahan memiliki kad pengenalan orang lain. "Sebab itu kita lihat ada keperluan untuk membangunkan (kad pengenalan) berteknologi lebih terkini supaya isu-isu ini dapat ditangani dengan baik dan berkesan," jelasnya lagi.- malaysiatoday.com.my
- Ramkarpal desak KDN jawab pasport dua kerakyatan 7 pemain warisan
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh di Parlimen pada Rabu mendesak kerajaan supaya mengarahkan siasatan baharu berhubung dakwaan salah laku melibatkan pemberian pasport kepada tujuh pemain warisan susulan pendedahan dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini. Pemimpin DAP itu berkata, meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyatakan tiada unsur jenayah, dapatan FIFA jelas menunjukkan wujud persoalan serius yang perlu disiasat semula. "Adakah kementerian bertanggungjawab iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengarahkan PDRM dan SPRM membuka kertas siasatan baharu berdasarkan laporan tersebut? "Sekiranya wujud unsur jenayah, adakah perancang atau 'mastermind' di sebalik skandal ini akan didedahkan dan dihadapkan ke mahkamah?" soal beliau semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) KDN di Dewan Rakyat hari ini. Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata, permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kewarganegaraan diluluskan melalui jalur naturalisasi. Beliau memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing. Penghakiman penuh yang dikeluarkan oleh Badan Penghakiman FIFA menerusi 'notification of the grounds of the Decision-FDD-24394' yang ditandatangani oleh Pengarah Badan Kehakiman FIFA, Luis Villas Pires, sebaliknya mendapati FAM dan tujuh pemain kelahiran luar negara didakwa menggunakan dokumen palsu (sijil lahir datuk/nenek) untuk membuktikan asal-usul Malaysia. Bagaimanapun, FAM membuat keputusan untuk mencabar FIFA di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan segala kos itu akan ditanggung oleh Pemangku Sultan Johor Tengku Mahkota Ismail. - malaysiatoday.com.my
- Shamsul Iskandar buat laporan Polis dakwa Albert fitnah, ada niat jahat terhadap PM
SHAH ALAM - Pemimpin PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada hari ini membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei yang mengaitkan beliau dengan penerimaan rasuah. Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu mendakwa Albert Tei telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dakwanya, Albert telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Perdana Menteri untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah. "Di sela-sela kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei. "Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej PM (Perdana Menteri) dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen Pilihan Raya Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. Tambah bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, beliau bersedia untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis mahu pun badan penguatkuasaan lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memulakan siasatan dalam kes tersebut. "Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri," tegas beliau. Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki hari ini memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar untuk memberi keterangan berhubung tohmahan penerimaan wang berkaitan lesen perlombongan. Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada Selasa dengan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani. - malaysiatoday.com.my
- PDRM masih giat kesan keberadaan anak, bekas suami Indira
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya masih giat melaksanakan usaha mengesan dan menjejaki lokasi bekas suami Indira Gandhi iaitu Muhammad Riduan Abdullah. Malah, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail juga berkata bahawa polis juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap Muhammad Riduan atau sebelum ini dikenali sebagai K.Pathmanathan. "Usaha mengesan Muhammad Riduan masih giat dilaksanakan oleh polis, ini termasuklah siasatan lanjut terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti tersebut bagi menerima bantuan kerajaan Budi Madani 95 (BUDI95) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA). "Masa sama, semakan juga dilaksanakan dengan kerjasama JIM bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap individu itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu negara hari ini. Dalam perkembangan sama, tambah beliau, PDRM komitmen untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh serta akan terus pergiat usaba mengeaan keberadaan anak dan bekas suami kepada M Indira Gandhi. Katanya, ia selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi kehakiman negara. Jelasnya, sejak tahun 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh berkaitan perkara ini dan sesi pengurusan seterusnya ditetapkan pada 27 Februari tahun depan. "PDRM ingin menegaskan bahawa setiap tindakan yang diambil dalam mengendalikan kes ini dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang. "Dalam perkara ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menjejaskan proses siasatan. "PDRM juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Muhammad Riduan untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan di balai polis terdekat," tegasnya lagi. - malaysiatoday.com.my
- Warga asing kantoi seludup dadah dalam seluar dalam
KUALA SELANGOR – Taktik seorang lelaki yang menyembunyikan sejumlah dadah dalam seluar dalam untuk di seludup keluar negara ini gagal. Suspek yang juga warga asing berjaya diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang, dekat sini baru-baru ini. Penangkapan suspek warga asing berusia 40an itu dilakukan kira-kira pukul 7.40 pagi pada 20 November lalu bersama sejumlah dadah bernilai RM38,000, kata Pengarah Jabatan Siasatah Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan. Katanya, kenyataan itu hasil maklumat yang diperolehi pihaknya daripada pihak Criminal Investigation Bureau (CIB) Taiwan mengenai kehadiran suspek ke negara ini. Katanya, pihaknya kemudiannya mengikuti pergerakan suspek sebelum dia ditangkap mahu keluar dari negara ini. “Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah dadah jenis heroin dan methamphetamine yang diletakkan dalam seluar dalamnya. Ini termasuk 22 ketulan mampat dadah, dua botol dan dua bungkusan plastik disyaki bahan terlarang itu seberat 0.407 kilogram (kg),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini. Beliau menambah, hasil soal siasat kemudiannya membawa serbuan di sebuah unit apartment di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan menahan empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 40 hingga 50 tahun. Tambah beliau, siasatan pihaknya mendapati modus operandi sindiket adalah memasukkan dadah ke dalam kondom sebelum disorokkan di dalam seluar dalam untuk diseludup keluar dari negara. “Kesemua yang ditahan berperanan sebagai rakan sekutu, kordinator dan transporter dengan sindiket telah aktif sejak hujung Disember tahun lalu. Dadah pula diperoleh daripada pembekal tempatan untuk edaran luar negara,” jelasya lagi. Tegas beliau, polis turut menyita dua buah kereta, iaitu sebuah kereta Mercedes Benz GLC 250 dan kereta Perodua Bezza bernilai RM196,000. “Kita sedang memburu pembekal dadah berkenaan dengan semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya. - malaysiatoday.com.my
- Wartawan Awani meninggal dunia selepas buat liputan banjir Hatyai
Wartawan Awani Asri Shafii meninggal dunia selepas selesai membuat liputan banjir di Hatyai, Thailand KANGAR – Seorang wartawan Astro Awani menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat liputan proses pemindahan rakyat Malaysia yang terperangkap banjir di Hatyai, Thailand. Mohamad Asri Shafii, 49, ditemui meninggal dunia oleh orang awam di Jalan Behor Pulai, di sini awal pagi tadi. Isteri kepada Allahyarham Mohamad Asri, Norhanani Ahmad berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah ialah menerusi aplikasi WhatsApp, di mana suaminya menyatakan hasrat untuk pulang ke Perlis kerana bimbang rumah dinaiki air. Katanya, semasa dalam perjalanan pulang, difahamkan kereta arwah terperangkap dalam banjir dan tidak dapat dihidupkan. “Arwah dikatakan cuba turun dari kereta untuk menolak kenderaan itu tetapi tiba-tiba dia rebah, mungkin akibat serangan jantung dan lemas. Dia juga ada sejarah sakit jantung sebelum ini,” katanya pada Rabu. Sebagai rekod, Allahyarham Asri pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro Awani di Perlis. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak.










