

Search Results
657 hasil ditemukan dengan carian kosong
- Polis buru 3 suspek serang wartawan sukan, rakam video
KUALA LUMPUR - Polis sedang giat memburu tiga suspek lelaki yang disyaki menyerang dan memukul wartawan sukan Haresh Deol sehingga tercedera dalam kejadian yang berlaku di Jalan Maarof, berhampiran parkir pusat beli-belah Bangsar Village pada Selasa. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook telah mengesahkan kejadian tersebut. Katanya, polis menerima laporan daripada mangsa berkaitan kejadian kira-kira jam 4 petang tadi. “Kes terbabit melibatkan tiga suspek yang mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan wartawan sukan. “Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan (luka) pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa. Tambah Chang Hook, kesemua suspek masih belum dikenal pasti dan tindakan mengesan individu terlibat sedang dijalankan. “Pegawai penyiasat akan memohon Perintah OTI (Order to Investigate) daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut. "Polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan bersalah. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Adnan Alias, di talian 019-2162272,” tegasnya lagi. Rentetan daripada insiden tersebut, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Geramm telah membidas jenayah serangan ke atas wartawan sambil mendesak polis menyiasat kes dan menangkap suspek yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan jenayah itu. - malaysiatoday
- 'Robin Hood' dalang sebenar sindiket dadah RM76 juta tersungkur
KUALA SELANGOR –Perlakuan seorang lelaki tempatan yang berlagak dengan watak 'Robin Hood' dalam kalangan penduduk kampung dalam soal kebajikan membongkar wajah sebenar individu itu yang rup-rupanya merupakan dalang utama sindiket memproses dan mengedar dadah di sebalik perniagaan besi buruk, ladang ayam dan penternakan lembu selama ini. Suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai selama ini menunjukkan imej dermawan, sering memberi bantuan kewangan serta mudah menghulur pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan, sekali gus menjadikannya ‘topeng’ sempurna untuk menyembunyikan kegiatan jenayah dadah secara aktif sejak awal tahun 2024. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis berjaya menghidu kegiatan jenayah dadah suspek selepas terlibat dalam risikan secara senyap selama lima bulan. Katanya, berdasarkan hasil risikan pasukan Narkotik berjaya melancarkan empat siri serbuan secara tergempar di sekitar Lembah Klang pada 19 November lalu. " Serbuan pertama telah dijalankan pasukan polis di Bukit Rahman Putra, Shah Alam sebelum berjaya membawa kepada penahanan ketua sindiket ini yang menyamar dengan wajah 'Robin Hood' di sebalik aktiviti amal selama ini. " Pemeriksaan lanjut di rumah ketua sindiket itu berjaya membawa kepada rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 5 kilogram, heroin base dan wang tunai RM1 juta disyaki hasil kegiatan dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini pada Isnin. Jelasnya lagi, siasatan mendapati, suspek memiliki tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah. Tambah beliau, kemudian pihaknya telah melaksanakan serbuan kedua di sebuah rumah yang terletak di Bestari Jaya (Batang Berjuntai) sebelum membawa kepada penahanan tujuh lelaki termasuk dua warga asing yang dipercayai membantu operasi pemprosesan dan penghantaran dadah dalam rangkaian itu. Menurutnya, kegiatan sindiket terbabit sangat tersusun menggunakan beberapa lokasi termasuk rumah sewa, stor simpanan dan sebuah gudang besi buruk yang dijadikan makmal pemprosesan dadah berskala besar. " Kita turut melakukan serbuan ketiga yang berjaya membawa pasukan kepada penemuan terpenting dalam kes ini apabila polis menyerbu sebuah gudang besi buruk di Batang Berjuntai yang dikesan sebagai makmal utama sindiket dadah tersebut. "Pemeriksaan di dalam berjaya merampas tong warna putih disyaki mengandungi cecair dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 1,300 kilogram. " Selain itu, turut ditemui 43 tong berwarna hitam juga mengandungi cecair dadah yang sama seberat 1,075 kilogram serta pelbagai mesin dan peralatan memproses dadah," ujarnya lgi. Hussein turut menegaskan bahawa polis di lokasi serbuan itu turut menjumpai ladang ternakan ayam dan lembu selain kedudukan lokasinya yang terselindung dari pandangan awam. Katanya, serbuan terakhir kemudian diteruskan di kawasan Bestari Jaya sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan yang disyaki anggota sindiket tersebut. "Secara keseluruhan, polis merampas 2,381 kilogram dadah dengan nilai RM76.2 juta yang mampu menampung hampir 12 juta pengguna dan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan termasuk wang tunai dan dua kenderaan mewah telah mencecah nilai RM77.46 juta. "Siasatan lanjut kami mendapati, sindiket ini dipercayai mempunyai struktur lengkap merangkumi kewangan, proses, edaran dan penyelarasan, malah dipercayai mendapatkan bekalan bahan 'base' dadah dari sebuah negara utara bagi menghasilkan syabu dalam jumlah besar. "Taktik menunjukkan diri sebagai orang baik dan penderma dalam kalangan penduduk kampung adalah strategi mereka untuk mengaburi mata masyarakat tetapi pada hakikatnya, mereka menjalankan operasi dadah yang berskala besar secara senyap," jelasnya. Katanya lagi, saringan awal ujian air kencing mendapati tiga daripada sembilan suspek yang ditahan itu dikesan positif dadah. Malah katanya, kesemua suspek itu kini direman antara tujuh hingga 10 hari untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.- malaysiatoday.com.my
- Wanita dalam keranda ditemui masih hidup sebelum upacara pembakaran mayat
NONTHABURI – Ajaib tetapi benar! Kakitangan di sebuah kuil di Thailand panik dan gempar selepas seorang wanita meninggal dunia yang dibawa untuk upacara pembakaran mayat tiba-tiba didapati masih hidup selepas kedengaran bunyi ketukan dari dalam keranda tersebut. Kejadian mengejutkan itu berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, sebuah kuil Buddha yang terletak di wilayah Nonthaburi, berhampiran ibu kota Bangkok. Pengurus hal ehwal umum dan kewangan kuil, Pairat Soodthoop berkata, wanita warga emas berusia 65 tahun berkenaan dibawa dari wilayah Phitsanulok oleh abang kandungnya untuk menjalankan proses pembakaran mayat. "Sebelum keranda dibuka, kakitangan kuil secara tiba-tiba terdengar ketukan perlahan dari dalam. "Saya terkejut dan terus minta mereka buka keranda. Semua orang yang hadir ke upacara pembakaran mayat turut terkesima. Wanita (mayat) buka mata sedikit dan mengetuk bahagian keranda. " Nampaknya, wanita terbabit sudah lama mengetuk dari dalam keranda itu," katanya ketika ditemubual oleh The Associated Press. Tambah Pairat, abang kandung kepada wanita itu memaklumkan bahawa adiknya terlantar sakit selama dua tahun dan baru-baru ini menjadi tidak responsif hingga disangkakan dia sudah meninggal dunia dua hari lalu. Malah katanya, abangnya kemudian meletakkan mayat wanita itu di dalam keranda sebelum memandu sejauh 500 kilometer menuju ke sebuah hospital di Bangkok kerana adiknya pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ namun ditolak hospital kerana tiada sijil kematian. Lelaki itu kemudian membawa mayat adik perempuannya ke kuil tersebut yang menawarkan perkhidmatan membakar mayat secara percuma, namun turut dimaklumkan bahawa proses pembakaran itu tidak boleh dijalankan tanpa dokumen kematian. "Ketika Pairat sedang menerangkan cara mendapatkan sijil kematian, tiba-tiba mereka terdengar ketukan dari dalam keranda itu sebelum mendapati wanita itu masih bernafas. "Wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya lagi. Pairat turut memaklumkan bahawa ketua sami kuil tersebut bersetuju menanggung semua kos perubatan untuk wanita tersebut.-Agensi
- Bas ekpres bawa 19 penumpang terbakar di Lebuhraya LTU
FOTO KREDIT:JBPM PAHANG KUANTAN - Para penumpang yang sedang meneruskan perjalanan ke destinasi masing -masing menaiki sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas tersebut terbakar di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Lurah Bilut, Raub pada Selasa. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu yang dilaporkan berlaku sekitar jam 4.41 petang. Katanya, bertindak atas maklumat itu, seramai tujuh anggota bersama pegawai bomba serta sebuah jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub telah bergegas ke lokasi untuk bantuan lanjut. "Pemeriksaan anggota di lokasi mendapati kebakaran berlaku pada bahagian enjin bas tersebut. "Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam dengan menggunakan alat pemadam api sebelum pihak bomba dan jentera pemandam tiba di lokasi kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. Tambah beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua 19 penumpang termasuk pemandu bas yang berada dalam bas berkenaan semasa kebakaran terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. "Kerja-kerja penyejukan menggunakan aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba telah dilakukan bagi mengelakkan kebakaran berulang. "Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan jam 5.24 petang," tegasnya lagi.- malaysiatoday
- Sekutu dan kakak Jho Low diperintah bayar AS$2.8 bilion kepada 1MDB
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan kakaknya membayar hampir AS$2.8 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berhubung peranan mereka dalam menerima dan menyembunyikan dana yang diselewengkan. Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas membenarkan 1MDB dan empat anak syarikatnya selaku plaintif memasukkan penghakiman ingkar terhadap Tan Kim Loong dan Low May Lin yang gagal memasukkan kehadiran di mahkamah dan tidak memfailkan pembelaan. Mahazan berkata, Kim Loong yang juga defendan kedua dikehendaki membayar AS$2,795,333,000 sementara May Lin (defendan keempat) sebanyak AS$809,319. Ketika membaca keputusan, beliau berkata, plaintif telah membuktikan tuntutan terhadap kedua-dua defendan terbabit. 00:3 02:01 “Kedua-dua defendan telah menyembunyikan penipuan mereka dengan menyeleweng dana terbabit sehingga menyebabkan mereka memperoleh kekayaan secara tidak wajar. “May Lin menerima AS$809,319 yang dimasukkan terus ke akaun peribadi melalui empat pemindahan daripada bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng,” katanya. Beliau berkata, pemindahan itu dilakukan tanpa sebarang rasional komersial dan berpunca daripada dana yang diselewengkan melalui Good Star. Selaku kakak, hakim berkata, peranan May Lin sebagai penerima manfaat peribadi dana yang diselewengkan, sesuai dengan corak penyembunyian berasaskan keluarga yang lebih luas. Beliau menambah, semua plaintif telah membuktikan tuntutan mereka terhadap kedua-dua defendan atas imbangan kebarangkalian yang menyatakan, bukti mereka telah menggunakan dokumen korporat, carta aliran dana, rekod bank dan keterangan saksi, kekal tidak dicabar. Katanya, bukti daripada bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir; pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse dan penyiasat penipuan kewangan di United Kingdom, Richard Templeman disokong sepenuhnya oleh dokumen. Menurutnya, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, melaksanakan kawalan ‘de facto’ ke atas keputusan kewangan utama 1MDB. Walaupun Jho Low, 44, tidak memegang sebarang jawatan rasmi, beliau berkata, ahli perniagaan kontroversi itu bertindak sebagai proksi dan pengarah bayangan Najib. Justeru itu katanya, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB menganggap arahan Jho Low sebagai membawa kuasa Najib. “Bukti dokumentari menunjukkan bahawa Kim Loong yang juga dikenali sebagai Eric Tan, merupakan pemilik benefisial bagi akaun Alsen Chance dan Blackstone, yang menerima AS$2.79 bilion yang dialihkan secara salah daripada 1MDB. “Responden kedua itu berfungsi sebagai saluran penting bagi mencuci dana yang dicuri,” katanya yang turut memerintahkan Kim Loong dan May Lin membayar kos sebanyak RM500,000. Pada Mei 2021, 1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) memfailkan saman terhadap lima defendan. Mereka ialah Jho Low, Kim Loong, ayah Jho Low, Tan Sri Larry Low Hock Peng, May Lin, adik lelaki, Low Taek Szen dan ibu mereka, Puan Sri Goh Gaik Ewe serta selaku defendan pertama hingga keenam. 1MDB dan syarikat subsidarinya meminda tuntutan saman untuk menuntut RM15.54 bilion (AS$3.7 bilion) daripada semua defendan. Berdasarkan writ pindaan, plaintif pertama menuntut RM2.77 bilion (AS$661 juta) daripada Jho Low. Plaintif juga menuntut masing-masing RM172.23 juta (AS$41 juta), RM1.66 bilion (AS$397 juta), RM2.55 bilion (AS$608 juta) dan RM7.98 bilion (AS$1.9 bilion) daripada Jho Low dan Kim Loong manakala RM1.36 bilion (AS$325 juta) dituntut daripada Jho Low dan ayahnya Hock Peng. Plaintif turut menuntut RM2.64 bilion (AS$630 juta) daripada Hock Peng, Jho Low dan Kim Loong, termasuk RM8.4 juta (AS$2 juta) daripada Taek Szen, Jho Low, dan Kim Loong. Plaintif turut menuntut RM14.7 juta (AS$3.5 juta) daripada May Lin dan Jho Low serta RM7.14 juta (AS$1.695 juta) daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Kim Loong berhubung pembelian barang emas dan keuntungan rahsia. Turut dituntut RM107.12 juta (AS$25.5 juta) daripada Jho Low, Kim Loong, Hock Peng dan Taek Szen. Mengikut penyata tuntutannya, plaintif mendakwa semua defendan terbabit dalam pelbagai penipuan ketika pemerintahan Barisan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Plaintif mendakwa dimanipulasi oleh beberapa kumpulan individu termasuk Najib dan Jho Low yang mengendalikan penipuan berskala besar dan dalam tempoh yang panjang. 1MDB sebelum ini telah memperoleh penghakiman ingkar terhadap Jho Low, Larry dan Taek Szen pada tahun 2022 sementara perintah sama terhadap Gaik Ewe pada 2024. Kim Loong dan Jho Low dilaporkan melarikan diri ke luar negara pada Mei 2015, diikuti defendan lain.
- Keputusan Najib dipenjara di rumah atau Penjara Kajang diawalkan ke 22 Disember
KUALA LUMPUR - Tarikh keputusan bagi menentukan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memaksa kerajaan atau enam pihak lain di Mahkamah Tinggi di sini untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah atau sebaliknya telah diawalkan kepada 22 Disember depan. Sebelum ini mahkamah telah menetapkan tarikh asal keputusan kes itu pada 5 Januari 2026. Bagaimanapun, ia telah diawalkan beberapa hari menjelang sambutan Hari Krismas pada Disember depan. Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan tarikh itu selepas prosiding pengurusan kes dibuat secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching. Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman, pihak firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib, 72, memohon mahkamah mempertimbangkan semula tarikh keputusan tahun hadapan. Surat itu menyebut bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit telah menjalani hukuman di Penjara Kajang hampir dua tahun lalu sejak Titah Adendum dikeluarkan. Jelasnya lagi, ia melebihi perkara yang sepatutnya berlaku kerana titah berkenaan jelas memperuntukkan bahawa Najib boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah. “Sehingga hari ini, Najib masih ditahan di penjara disebabkan perjalanan prosiding ini. “Setiap hari yang dihabiskan dalam tahanan merupakan hari yang tidak akan dapat dikembalikan kepadanya,” katanya. Lebih-lebih lagi, surat itu menyatakan bahawa pada 13 Ogos lalu, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memerintahkan prosiding ini dimuktamadkan sebelum 14 September. Katanya, Hasnah menekankan kepentingan menyelesaikan perkara berkenaan dengan segera memandangkan ia melibatkan isu kebebasan seorang individu. Menurut beliau, penahanan yang berterusan ini menafikan kebebasan seseorang dan bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja melindungi kebebasan fizikal tetapi juga maruah serta keselamatan individu. Katanya lagi, penahanan yang begitu lama menyebabkan Najib mengalami tekanan emosi yang serius, trauma dan kemerosotan ketara terhadap keadaan mental serta kesejahteraannya secara keseluruhan. Surat itu juga menyatakan bahawa perkara tersebut dibawa ke mahkamah kerana tarikh keputusan kian menghampiri tempoh dua tahun sejak Titah Adendum yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap bekas Presiden UMNO itu. “Dalam keadaan luar biasa ini dan atas arahan tegas anak guam yang semakin tertekan oleh kelewatan yang berpanjangan, kami dengan rendah diri dan penuh hormat memohon mahkamah mempertimbangkan semula serta mempercepatkan tarikh keputusan,” kata surat tersebut.- malaysiatoday
- PRN Sabah: BN optimis rampas Sabah
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) optimis parti itu dapat merampas negeri Sabah berdasarkan 45 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN) pada kali ini sekali gus memberi peluang kepada gabungan itu menguasai semula pemerintahan di negeri itu. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keyakinan itu disokong dengan komitmen dan persiapan jentera serta sambutan akar umbi yang memberangsangkan. "Di Sabah, BN bertanding 45 kerusi, sudah tentulah kita ada keyakinan untuk menang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Visonary De' Tea Logue anjuran Yayasan Pahang di sini. Tambah beliau, jumlah kerusi yang ditandingi BN di Sabah kali ini memadai untuk gabungan itu membentuk kerajaan negeri. "Alhamdulillah penerimaan baik. Radu tetap radu, radu sampai menang," katanya yang turut turun berkempen di Sabah pada kali ini. Hari Mengundi PRN Sabah pada 29 November ini menyaksikan seramai 596 calon bakal bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
- 'Saya terjebak dalam politik kerana benci rasuah', kata Rafizi
SHAH ALAM - Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu status mengenai isu rasuah di Facebook rasminya menyatakan bahawa faktor utama membawa beliau menyertai politik kira-kira 20 tahun lalu kerana disebabkan oleh kebenciannya terhadap isu yang tidak pernah padam dalam negara iaitu rasuah. Status terbaharu itu sekaligus menarik perhatian para pengguna dan juga pengikut beliau di Facebook. Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau terjebak dalam arena politik tanahair ialah kerana kebencian kepada rasuah. "Bila saya membesar saya nampak ada sebahagian masyarakat kita yang mensucikan rasuah. Ada yang kata apa nak kisah pasal rasuah asalkan orang kita dapat. "Ada yang kata kalau tak rasuah macam mana nak buat bisnes. Ada yang menunggang lawan rasuah, rupa-rupanya sebab dia nak pula nak ambil tempat laba rasuah bila kerajaan bertukar ganti," kata beliau dalam FB. Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga menambah bahawa sebelum ini beliau pernah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memecat setiausaha politiknya yang terpalit kontroversi berhubung surat sokongan dikeluarkan bagi kontraktor yang membida projek hospital. Bagaimanapun keluh beliau, Anwar yang juga Presiden PKR menolak desakan tersebut dengan mengatakan surat sokongan berkenaan bukan arahan. Selepas lebih 20 tahun bercakap dan melawan rasuah, beliau turut mengakui mungkin sukar untuk mempercayai mana-mana kempen atau slogan untuk melawan perbuatan tidak bermoral itu. "Sebab saya nampak (petikan) ini. Corruption is not bad. Corruption is only bad if I am not involved. But if I am part of that corruption, I’ll defend it (Rasuah tidaklah buruk. Rasuah hanya menjadi buruk jika saya tidak terlibat. Tetapi jika saya menjadi sebahagian daripada rasuah itu, saya akan mempertahankannya)," tegasnya lagi. - malaysiatoday
- Myvi terjunam rempuh pagar rumah
Foto kredit: Sinar Harian SEREMBAN - Kebimbangan seorang penduduk di Taman Nusari Bayu 1 di sini bahawa kemungkinan suatu hari nanti ada kenderaan dari jalan utama yang terjunam ke rumahnya akhirnya menjadi nyata, lapor Sinar Harian. Dalam kejadian jam 8.40 pagi, sebuah kereta Perodua Myvi telah hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh dari ketinggian 10 meter lalu merempuh pagar rumah milik lelaki bernama Amirul Zaki Abd Rahim, 35. Bagaimanapun pemandu wanita berusia 33 tahun itu terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian itu. Amirul Zaki yang merupakan seorang guru berkata, jirannya membuat panggilan video memaklumkan tentang kereta merempuh kediamannya dan memintanya segera pulang ke rumah. Bila sampai, saya tengok ada kereta Myvi terbalik di bahagian tepi garaj rumah yang merupakan tempat anak-anak saya bermain. "Tapi pemandunya sudah tiada dan jiran saya beritahu suami mangsa telah hantarnya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya. Dia bersyukur kerana kenderaan terlibat hanya terbalik di bahagian tepi, tidak melibatkan struktur rumahnya. Menurutnya, itu bukan kali pertama kemalangan berlaku di kawasan berkenaan dan pernah melibatkan kematian sebelum ini apabila sebuah kereta dari bahagian atas jalan terbabas. "Sebab itulah di bahagian atas tepi jalan itu pihak berkuasa telah letakkkan penghadang konkrit sebab nak elak kemalangan seumpama itu terjadi," katanya. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. "Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. "Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan," tegasnya lagi.
- Suspek mati ditembak polis adalah ketua sindiket samun, miliki 19 rekod kes
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Kumar menunjukkan senjata dirampas dari ketua sindiket samun yang ditembak mati pagi tadi di Sepang. SEPANG - Seorang lelaki yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil di sini dipercayai merupakan ketua sindiket samun yang aktif sejak tahun 2022 yang menyasarkan rumah, kilang dan tapak projek. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk M. Kumar berkata, kumpulan suspek aktif dan agresif melakukan jenayah samun di neegri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. "Kumpulan ketua sindiket ini mempunyai kira-kira 10 ahli dan rakan sejenayah dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki baki suspek geng ini yang dipercayai masih bebas di luar. "Siasatan mendapati, kumpulan penjenayah ini menyasarkan rumah kediaman, tapak projek, kilang e-waste dengan bersenjatakan pistol, parang dan batang besi untuk melakukan jenayah samun. "Malah, sindiket ini juga akan mencabut dan merosakkan dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain memakai topeng muka, bersarung tangan ketika melakukan jenayah serta tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa jika diancam," katanya dalam sidang khas kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Selasa. Tambah Kumar lagi, terdapat 17 kes di Selangor dan satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Melaka membabitkan geng samun ini dengan nilai kerugiannya mencecah RM2.53 juta. Mengulas lanjut tentang identiti suspek, Kumar turut memberitahu bahawa sebelum ini suspek yang berusia 30 tahun itu pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam tanpa kehadirannya pada 19 November lalu bagi kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Jelasnya lagi, mahkamah telah mengenakan tindakan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap suspek sebelum waran tangkap dikeluarkan. "Suspek berasal dari Sepang, Selangor mempunyai 10 rekod jenayah lampau bersabit kes samun berkumpulan, mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan merusuh. "Suspek juga mempunyai rekod dikehendaki dalam dua kes samun stor penyimpanan barang tapak projek di Sepang tahun lepas. "Kejayaan menumpaskan penjenayah tersebut adalah hasil operasi mengesan dan mencegah kejadian samun di sekitar Banting, Dengkil serta Sepang yang dilaksanakan sejak awal November ini," tegasnya lagi.- malaysiatoday
- PRN Ke-17 Sabah: Undi awal bermula 8 pagi
KOTA KINABALU - Seramai 24,426 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Selasa bagi memilih wakil rakyat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 11,697 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 lagi merupakan anggota polis serta pasangan. Manakala, sebanyak 58 pusat pengundian awal dibuka serentak di seluruh negeri bermula tepat 8 pagi sebelum ditutup secara berperingkat. Antara lokasi pusat mengundi awal ialah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, ibu pejabat polis daerah serta kem-kem tentera di seluruh negeri. Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat di seluruh negeri sepanjang hari pengundian awal. Selepas selesai pengundian awal, semua kertas undi tidak akan dikira serta-merta, sebaliknya proses pengiraan akan dilaksanakan semasa hari pengundian pada 29 November ini. Dengan selesainya proses pengundian awal pada Selasa, tumpuan kini beralih pada hari pengundian yang dijadualkan pada Sabtu. Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan sebanyak 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas. Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula dari 15 November lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28 November ini. - malaysiatoday
- SPM 2025: KPM aktifkan pelan kontigensi hadapi banjir
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan pelan kontigensi secara menyeluruh bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar meskipun berlangsung ketika musim tengkujuh. PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjalan lancar sepanjang musim tengkujuh keitka ini. Ketua Pengarahnya, Dr.Mohd Azam Ahmad berkata semua risiko termasuk kemungkinan banjir, laluan terputus serta gangguan pada pusat peperiksaan telah dikenal pasti melalui pemantauan awal oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). "KPM bersama Lembaga Peperiksaan melaksanakan persediaan rapi sejak September lalu melalui simulasi khas di Kuala Terengganu bagi menilai cabaran sebenar ketika air naik secara mendadak," katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan hari pertama SPM di SMK Putrajaya Presint 11(1) di sini pada Selasa. Tambah beliau dalam perkembangan berkaitan, simulasi itu membolehkan kementerian merangka strategi terperinci termasuk penempatan calon, pengekalan akses kepada kertas soalan serta sokongan logistik di kawasan berisiko tinggi. Justeru katanya, KPM turut mengadakan mesyuarat koordinasi melalui OPS Payung bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta agensi lain bagi menyelaras bantuan kepada calon dan pengawas peperiksaan yang terkesan. “Kerjasama rentas agensi itu memastikan setiap pusat peperiksaan menerima tindak balas pantas sekiranya berlaku banjir atau gangguan lain sepanjang tempoh peperiksaan,” ujarnya lagi. Tegas beliau, JPN turut diarah untuk mengenal pasti pelajar yang rumahnya berhadapan risiko laluan terputus akibat sungai melimpah atau jalan dinaiki air sebelum peperiksaan bermula. “Sebahagian daripada mereka telah dipindahkan lebih awal ke asrama berdekatan bagi mengelakkan risiko tidak dapat hadir pada hari peperiksaan. "Langkah awal itu berjaya mengurangkan tekanan keluarga serta memudahkan pengurusan keselamatan calon di kawasan yang dijangka mengalami hujan berterusan," kata beliau.










